Banyakkan libat urus dengan kumpulan masyarakat sivil, Suhakam beritahu kerajaan


Noel Achariam

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata kerajaan perlu memperbanyakkan sesi libat urus dengan kumpulan masyarakat sivil berkenaan hak asasi manusia dan isu-isu lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob dan kabinetnya perlu memperbanyakkan sesi libat urus dengan organisasi masyarakat sivil berkenaan hak asasi manusia dan isu-isu lain, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Pesuruhjayanya Jerald Joseph berkata tadbir urus yang baik memerlukan kerjasama rapat dengan para pemegang taruh.

“Semasa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilantik, beliau menetapkan 100 hari untuk semua menteri membuktikan pencapaian masing-masing.

“Ini satu petunjuk bahawa tidak boleh ada pentadbiran seperti dahulu,” katanya pada forum “20 Years Post Durban Declaration: Is Malaysia spearheaded in the right direction?” hari ini.

Semasa mengumumkan barisan Jemaah Menteri pada 27 Ogos lalu, Ismail Sabri mengumumkan pentadbirannya menekankan budaya kerja berprestasi tinggi.

Beliau juga mentetapkan 100 hari untuk semua kementerian membuktikan pencapaian awal sasaran jangka panjang dan jangka pendek masing-masing, terutama sekali ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Joseph berkata kerajaan seharusnya mempunyai rangka kerja untuk meningkatkan kebertanggungjawapan dan banyak melibatkan diri dengan pihak yang mempejuangkan isu rakyat dan hak asasi manusia.

“Sekiranya menteri dan pegawai mereka tidak melibatkan diri, maka ada sesuatu yang tidak kena.

“Tindakan ini cara lama. Jadi, kerajaan di semua peringkat dan kementerian perlu lebih terbuka,” katanya.

Tambah beliau, libat urus bersama pemegang taruh perlu kerana kerajaan memiliki kuasa dan bertanggungjawab atas isu hak asasi manusia. – 23 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen