BARISAN Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri DAP mengenai mengapa kos menjalankan kajian teknikal bagi terowong dasar laut dan tiga projek lebuh raya melonjak sehingga RM69.3 juta.
Nilai kontrak asal untuk projek itu ialah AS$22 juta pada Oktober 2013, kata Ketua BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow.
Dengan kadar pertukaran pada RM3.15 berbanding dolar, China Railway Construction Corporation (CRCC) yang menjalankan kerja kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci (FSDD) berharga kira-kira RM69.3 juta hari ini, katanya.
“Tetapi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) negeri pada Oktober 2015, dan jawapan kerajaan negeri di dewan perundangan negeri pada Mei 2017 melaporkan FSDD menelan belanja RM305 juta.
“Daripada RM305 juta, kerajaan negeri mengesahkan dua kawasan tanah yang berukuran 3.7 ekar dan bernilai RM208 juta ditukar sebagai pembayaran menyiapkan kajian lebuh raya.
“Persoalannya sekarang ialah perbezaan di antara RM236 juta hingga RM69.3 juta yang dinyatakan dalam kontrak CRCC dan RM305 juta yang dilaporkan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang hari ini.
Teng, yang merupakan pengerusi Gerakan negeri, menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersikap telus dan bertanggungjawab terhadap kedua-dua angka itu.
“Pertukaran tanah dalam apa jua definisi yang ingin digunakan oleh kerajaan masih merupakan pembayaran yang dibuat menggunakan aset milik rakyat,” katanya.
Projek terowong dasar laut dan lebuh raya menjadi fokus siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kerajaan negeri menafikan terdapat elemen rasuah dalam pentadbiran berhubung projek itu.
Ketua Menteri Lim Guan Eng mendakwa siasatan itu adalah usaha yang disasarkan untuk menjejaskan kerajaan negeri menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 tahun ini. – 24 Januari, 2018.
Komen