KERAJAAN berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran mewujudkan 500,000 pekerjaan selepas 376,000 individu berjaya mendapat pekerjaan di bawah 27 inisiatif kerajaan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
“Kejayaan menempatkan pekerja tersebut melebihi sasaran yang ditetapkan untuk sembilan bulan pertama tahun ini, iaitu 354,276 peluang pekerjaan sehingga 30 September 2021.
“Ia menunjukkan hasrat kerajaan untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan untuk tahun ini bakal dicapai,” katanya.
Ismail berkata, kerajaan berjaya mewujudkan lebih 97,000 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara dengan 76% daripadanya merupakan kategori mahir dan separuh mahir.
Beliau berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada sasaran mewujudkan 160,000 pekerjaan baharu yang terhasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun 2021.
“Putrajaya juga akan melaksanakan Pelan Strategik Penciptaan Pekerjaan Nasional yang akan disokong oleh lima specialised taskforce di bawah NEC,” katanya.
Tambahnya, penciptaan pekerjaan akan dipertingkatkan melalui enam teras utama.
“Ini termasuk meningkatkan kerjasama antara industri dan akademik, memupuk bakat bagi memenuhi keperluan industri, memperkasa usahawan tempatan untuk maju dalam ekonomi semasa, memanfaatkan ‘ekonomi gig’ untuk pencarian peluang penjanaan pendapatan, memacu pertumbuhan sektor baharu dan moden serta mempercepat penerapan amalan tempat kerja moden,” katanya.
Ismail berkata, enam teras itu akan menjadi panduan bagi pelaksanaan enam game changers termasuk mengaplikasikan teknologi kepintaran buatan untuk tujuan pemadanan dan perancangan kerjaya di samping meningkatkan kebolehpasaran dan kualiti graduan lepasan TVET.
NJCSP juga akan membuat platform khas untuk menyelaraskan maklumat yang berkaitan dengan semua institusi TVET, program dan peluang yang ditawarkan bagi memadankan mereka dengan institusi TVET yang sesuai untuk memudahkan pencarian kerjaya di masa hadapan.
“Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia juga telah diberi tanggungjawab membangunkan platform digital sehenti bagi memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran yang dijalankan pelbagai kementerian dan agensi dapat dilaksanakan dan dipantau secara berstruktur dan efektif,” katanya.
Katanya, kursus yang ditawarkan akan berdasarkan keperluan ekonomi semasa, demografi dan ekonomi tempatan.
Kerajaan juga membuat Skim Insurans Pekerjaan melalui Perkeso bagi mereka yang kehilangan pekerjaan.
Ismail menambah, mereka yang masih mencari peluang pekerjaan boleh ke Portal MyFutureJobs di https://www.myfuturejobs.gov.my/.
Kerajaan yakin bahawa strategi NEC termasuk NJCSP dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi, mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan mengatasi masalah seperti kekurangan tenaga kerja di sektor tertentu, kesaksamaan peluang untuk golongan rentan serta masalah berkaitan penggajian
Dipengerusikan oleh perdana menteri, NEC terdiri daripada 12 menteri Kabinet, ketua setiausaha jika dari kerajaan dan 12 wakil dari sektor swasta. – 23 September, 2021.
Komen