PEKERJA warga asing tanpa dokumen yang dijangkiti adalah “titik buta” dalam kerajaaan menguruskan pandemik Covid-19, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri kesihatan itu berkata ia adalah masalah serius dan perlu dikaji semula.
“Walaupun dasar pada masa ini memerlukan majikan mengasingkan pekerja mereka yang bergejala atau tidak bergejala, masih tidak jelas sama ada ia dipatuhi atau tidak,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
“Ini isu serius dan antara titik buta kita yang menyebabkan lebih banyak jangkitan,” kata ahli Parlimen Rembau itu.
“Sepatutnya tidak ada lagi kluster tempat kerja tetapi kita masih lagi melaporkan kes dalam kluster itu kerana mereka masih tinggal di kuarters.”
Khairy menjawab soalan Charles Santiago (Klang-PH) ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya hari ini.
Terdahulu, Santiago bertanya apakah rancangan kementerian dalam menangani isu kuarantin kendiri membabitkan pekerja asing tanpa izin.
“Adakah cukup pemantauan terhadap pekerja asing ini? Kerana mereka tinggal bersama, jika tidak dipantau, mereka akan kembali ke kilang dan menjangkiti pekerja warga tempatan,” kata Santiago.
Malaysia berdepan dengan lonjakan kes jangkitan Covid-19 dan kluster tempat kerja pada Julai selepas kerajaan Perikatan Nasional mula melonggarkan sekatan bagi sektor pembuatan.
Pada Jun, Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari berkata 91% daripada jumlah keseluruhan kluster di negeri itu adalah berkaitan tempat kerja.
Daripada jumlah itu, 80% dari kilang sementara baki 11% dari tapak pembinaan. – 23 September, 2021.
Komen