Syarat baharu padam minat warga asing menetap di Malaysia, kata ejen MM2H


Raevathi Supramaniam

Dari 2002 hingga 2018, program MM2H menjana RM40.6 bilion untuk negara. Program yang digantung untuk semakan semula sejak 2019, akan diaktifkan bermula Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2021.

PUTRAJAYA menghantar isyarat salah kepada warga asing yang sedang mempertimbangkan untuk menjadikan Malaysia rumah kedua mereka, apabila memperkenalkan peraturan baharu yang menyasarkan kepada jutawan, kata ejen dan peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Ejen memberitahu The Malaysian Insight sejak pengumuman syarat baharu itu, minat dalam program itu berkurangan dan setakat ini, mereka tidak menerima walau satu pun permohonan.

Negara jiran Malaysia di utara, Thailand kini meraih keuntungan atas keadaan itu dan memperkenalkan beberapa langkah untuk menarik warga asing yang kaya ke negara berkenaan.

Mereka berkata Malaysia yang akan rugi kerana dari 2002 hingga 2018, program MM2H menjana RM40.6 bilion untuk negara. Program itu yang digantung untuk semakan semula sejak 2019, akan diaktifkan semula pada Oktober.

Mengikut syarat baharu, pemohon MM2H perlu mempunyai minum RM1 juta dalam akaun deposit tetap Malaysia, dan kenaikan daripada RM150,000 bagi pemohon berusia 50 tahun ke atas dan RM300,000 untuk 50 tahun ke bawah.

Pemohon juga perlu ada pendapatan pesisir pantai sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan, berbanding RM10,000 sebelum ini. Mereka juga perlu memberikan bukti tambahan RM1.5 juta dalam aset cair dan berada di Malaysia sekurang-kurangnya 90 hari setahun.

Kamal Abd Ghafur Korusamy, pemilik AG Infinity Malaysia (MM2H) Sdb Bhd berkata syarat baharu itu tidak akan menggalakkan warga asing datang ke sini, sebaliknya menghalau mereka.

“Ramai pelanggan saya kecewa dan buat keputusan untuk keluar. Saya pada masa ini sedang membantu seorang pelanggan berasal dari Switzerland untuk menjual semua hartanahnya di Malaysia dan berpindah ke Thailand,” kata Kamal.

Mereka yang mahu menetap di Malaysia kebanyakannya kumpulan berpendapatan sederhana di negara asal mereka dan tidak cukup kaya untuk memenuhi syarat baharu itu, katanya.

Kamal berkata peserta MM2H banyak memberi sumbangan dengan membeli hartanah yang kebanyakannya tidak mampu dibeli rakyat Malaysia.

“Rakyat Singapura membeli hartanah di Danga Bay dan Forest City di Johor. Mereka saja yang mampu membelinya, orang tempatan tidak beli,” katanya yang turut mempunyai pejabat di Johor.

Memandangkan ramai yang bertanya tentang program itu kini menarik diri, Kamal berkata beliau mempertimbangkan untuk menutup perniagaannya dan beralih kepada perniagaan lain.

“Kami sudah banyak buat kempen untuk promosi MM2H dan tiba-tiba ada peraturan baharu dan kami tidak dapat pelanggan. Tidak ada guna teruskan lagi.”

Tiada pemohon baharu

Sejak pengumuman peraturan baharu itu dibuat, perunding MM2H berkata mereka tidak menerima permohonan kerana kebanyakan pemohon kini melihat kepada negara lain.

Gideon Yap, pengarah urusan Alliance (MM2H) Sdb Bhd berkata setiap bulan secara puratanya, beliau menerima 10 hingga 20 pertanyaan tentang program itu, tetapi sekarang tidak ada sesiapa yang mahu meneruskan permohonan.

“Mereka berkata dengan RM1 juta mereka boleh dapat kewarganegaraan di negara lain. Dengan jumlah wang itu, mereka lebih suka untuk berpindah ke Kanada, Amerika Syarikat atau Portugal. Turki juga antara pilihan.

“Jika mereka labur AS$250,000 untuk hartanah di sana, dalam tempoh tiga bulan mereka diberi kewarganegaraan penuh. Dengan MM2H anda dapat visa lawatan sosial, tidak ada beza dengan jadi pelancong,” katanya.

Yap berkata ini bermakna pemegang pas MM2H masih perlu menunjukkan pasport jika ditahan polis.

Yap mempunyai 1,000 pelanggan kebanyakannya dari China, Korea Selatan, Jepun dan Bangladesh.

“Dengan peraturan baharu itu, tidak ada siapa pun yang memohon. Saya fikir tahun ini saya mungkin hanya dapat lima pelanggan, sedangkan sebelum ini, boleh dapat 10 pelanggan setiap bulan.” – 24 September, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen