Jerman henti bayar pampasan kuarantin kepada individu tidak divaksinasi


Ujian saringan percuma di Jerman dilaksanakan sejak Mac lalu. – Gambar AFP, 23 September, 2021.

RAKYAT Jerman yang belum divaksinasi terhadap Covid-19 tidak akan lagi menerima pampasan kehilangan gaji jika mereka terpaksa dikuarantin mulai November, kata Menteri Kesihatan Jens Spahn pada Rabu.

Kerajaan membayar pekerja yang menjalani kuarantin selama sekurang-kurangnya lima hari selepas kontak rapat dengan individu dijangkiti atau kembali dari kawasan berisiko tinggi di luar negara.

Bagaimanapun, dasar itu akan berakhir bermula 1 November, kata Spahn selepas mengadakan mesyuarat dengan menteri kesihatan dari 16 negeri di Jerman, dalam inisiatif terbaharu  kerajaan untuk mendorong lebih ramai rakyat mengambik suntikan vaksin.

Mendapatkan vaksin masih menjadi “keputusan peribadi”, kata Spahn, tetapi ia kini “juga akan datang dengan tanggungjawab untuk menanggung akibat kewangan”.

“Beberapa orang akan berkata ia untuk memberi tekanan kepada golongan yang tidak divaksinasi. Saya rasa kita harus melihat sebaliknya - ia juga soal berlaku adil,” katanya.

Mereka yang sudah divaksinasi tidak perlu dikuarantin di Jerman.

Sebanyak 63.4% penduduk Jerman divaksinasi lengkap terhadap Covid-19 pada hari ini, menurut angka rasmi - ia jauh di bawah 85% yang difikirkan perlu oleh badan kesihatan Institut Robert Koch (RKI).

Dengan kempen vaksinasi hampir tamat, kemungkinan sekatan bagi yang tidak divaksinasi menjadi perdebatan hangat, walaupun vaksinasi wajib bagi sebahagian penduduk setakat ini ditolak.

Banyak negeri Jerman memperkenalkan peraturan membenarkan restoran dan kemudahan riadah lain untuk menyekat kemasukan hanya kepada yang sudak divaksinasi atau dapat membuktikan mereka baharu saja sembuh daripada Covid-19.

Mulai bulan depan, sesiapa yang ingin melakukan ujian pantas negatif sebagai pengganti bukti vaksinasi harus membayarnya  sendiri - mengakhiri inisiatif kerajaan yang menjadikan ujian tersedia secara meluas dan percuma untuk semua.

Jerman semalam melaporkan 10,454 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir dengan kadar 65 jangkitan baharu setiap 100,000 orang dalam tempoh tujuh hari terakhir. – AFP, 23 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen