KKM lapor 487 kematian baharu Covid-19


Jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 negara kini mencecah 24,565 orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 487 kematian baharu akibat Covid-19 malam tadi, ia termasuk tujuh kematian sebenar yang berlaku semalam.

Baki 480 kematian adalah kes tunggakan, menurut data daripada portal kementerian Git.hub.

Ia menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 kini berjumlah 24,565 orang.

Angka kematian harian adalah jumlah keseluruhan jumlah kematian yang berlaku pada hari itu serta laporan kematian yang tertangguh, atau kematian yang baharu saja disahkan oleh pihak kesihatan kerana Covid-19.

Sementara itu, 161 daripada 480 yang meninggal dunia melibatkan kes kematian di luar hospital.

Selangor melaporkan jumlah kematian tertinggi dengan 178 kes, kurang sedikit berbanding 187 kes yang dilaporkan sehari sebelumnya. Daripada 178 kes, 71 kematian di luar hospital.

Negeri lain yang melaporkan kematian baharu adalah Johor (63), Kelantan (16), Pulau Pinang (36), Sabah (87), Perak (18), Kuala Lumpur (44), Sarawak (1), Kedah (14) Pahang (5 ), Terengganu (3), Melaka (5), Negeri Sembilan (5) dan Perlis (2).

Tiada kematian dilaporkan di Labuan dan Putrajaya.

Daripada semua negeri itu, hanya Johor, Perak dan Pahang yang melaporkan kematian sebenar semalam, sementara kes dari negeri lain adalah tunggakan.

Johor melaporkan lima kematian sementara Perak dan Pahang masing-masing melaporkan satu kes.

Kadar purata negara adalah 6.3 kematian bagi setiap 100,000 penduduk dengan Pulau Pinang mempunyai kadar tertinggi dengan 16.1 kematian.

Purata tujuh hari bagi kematian sebenar adalah 106 kes.

Sementara itu, 14,990 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam yang menjadikan jumlah kumulatif kepada 2,142,924.

Menurut laman web CovidNow, pada masa ini terdapat 201,274 kes aktif di negara ini, dengan 168,258 pesakit atau 83.6% menjalani kuarantin di rumah, 21.581 (10.7%) di pusat kuarantin berisiko rendah dan 10,321 (5.1%) di hospital.

Selain itu, daripada jumlah ini 1,114 dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, dengan 615 memerlukan bantuan alat pernafasan. – 23 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen