Permintaan perumahan kekal tinggi di Pulau Pinang 


Looi Sue-Chern

Flat Rifle Range di Pulau Pinang. Ia antara kawasan yang mempunyai permintaan tinggi untuk rumah PPR dengan tanah yang sangat terhad seperti Padang Tembak dan Kampung Melayu. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 25 Januari, 2018.

WALAUPUN menjadi antara kawasan berpopulasi padat di Malaysia, permintaan untuk perumahan di Pulau Pinang kekal tinggi, berikutan penduduk tempatan masih memilih untuk tinggal di pulau berkenaan berbanding tanah besar.

Hampir separuh daripada populasi di negeri itu yang dianggarkan 1.75 juta – atau hampir kepada 800,000 – tinggal di pulau berkeluasan 293 kilometer persegi di Pulau Pinang.

Rekod kerajaan negeri dari 2013 hingga 2017 menunjukkan 30,787 atau 60.8% daripada 50,612 pemohon rumah mampu milik adalah dari pulau, kebanyakannya dari Daerah Timur Laut (DTL).

DTL, yang mana tanah adalah terhad, merupakan kawasan paling popular untuk diduduki, walaupun bagi golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri dan tinggal di unit Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Daripada 1,662 pemohon PPR yang masih dalam senarai menunggu, 1,129 (68%) adalah dari DTL.

Walaupun tanah besar Seberang Prai lebih luas – 751 kilometer persegi atau 71.6% daripada keseluruhan negeri – permintaan bagi rumah mampu milik di kawasan berkenaan adalah rendah.

Dari 2013 hingga 2017, hanya 19,825 permohonan diterima bagi rumah mampu milik.

Fauzi Isa dan Abdul Rahman sanggup menunggu lima dan sembilan tahun untuk mendapatkan unit PPR di flat Taman Manggis di George Town.

Rahman, 56, membuat permohonan pada 1999, dan hanya mendapat seunit pada 2008 selepas kerajaan negeri jatuh kepada pembangkang.

“Saya pernah tinggal di kawasan P. Ramlee yang sering dilanda banjir. Ia dilanda banjir pada 2008 dan wakil Datuk Keramat yang baharu Jagdeep Singh Deo datang melawat rumah penduduk yang terjejas.

“Selepas melihat rumah saya, beliau berkata saya perlu berpindah. Akhirnya saya mendapat rumah di Taman Manggis selepas itu,” katanya.

Walaupun sering dilanda banjir di P. Ramlee, Rahman berkata dia tidak perah terfikir untuk meninggalkan George Town untuk berpindah ke tanah besar, yang mana unit PPR sudah tersedia.

Fauzi turut berpandangan sama, yang sanggup menunggu untuk tinggal di kawasan berdekatan dengan tempat kerjanya. 

Kerja di pulau

Jagdeep yang merupakan exco perumahan Pulau Pinang berkata, pemohon DTL mahu terus tinggal di pulau kerana peluang kerja.

Katanya, kebanyakan pemohon PPR menolak unit PPR di tanah besar dan sanggup menumpang saudara mara sementara menunggu unit PPR di pulau itu.

“Apabila ditanya mengapa, mereka kata mereka penduduk pulau yang bekerja dan mempunyai anak bersekolah di situ.

“Berulang alik untuk kerja adalah membebankan bagi mereka. Kami tidak boleh memaksa mereka untuk berpindah,” katanya.

Ketua program kajian dan statistik Institut Pulau Pinang Ong Wooi Leng berkata, permintaan di DTL adalah tinggi berikutan harga rumah mampu milik di DTL dan kos peluang pemindahan yang tinggi ke tanah besar.

Katanya, sekiranya kos pemindahan adalah tinggi berbanding kos menunggu, majoriti pemohon akan menunggu giliran untuk penempatan di pulau berkenaan.

Hampir separuh daripada populasi di Pulau Pinang yang dianggarkan 1.75 juta, tinggal di pulau berkeluasan 293 kilometer persegi dan mendapat sukar untuk berpindah ke tanah besar. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 25 Januari 2018.

“Jumlah keseluruhan yang membuat keputusan untuk berpindah boleh menjadi tinggi apabila warga emas dan kanak-kanak sekolah terlibat. Agak sukar untuk keluarga berpindah ke tanah besar walaupun terdapat pilihan rumah mampu milik yang banyak,” katanya.

Rumah mampu milik di DTL secara relatifnya juga rendah berbanding unit rumah biasa di daerah itu, kata Ong.

“Kebanyakan apartmen DTK dijual pada harga RM500,000 ke atas, tetapi harga yang paling berpatutan adalah di antara RM200,000 dan RM400,000.

“Perbezaan harga adalah signifikan dengan golongan berpendapatan sederhana di DTL, menjadikan mereka lebih responsif kepada projek di daerah itu berbanding yang lain,” katanya.

Rumah mampu milik di Pulau Pinang, menurut laman sesawang jabatan perumahan negeri, merupakan projek dengan harga di antara RM200,000 hingga RM500,000, RM42,000 (kos rendah) dan RM72,500 (kos sederhana rendah).

Pemohon mestilah dari Pulau Pinang, penduduk atau pengundi berdaftar di negeri itu, berusia sekurang-kurangnya 21 tahun dan mempunyai pendapatan isi rumah bulanan bermula bawah RM2,500 hingga bawah RM10,000 bergantung kepada jenis rumah yang ingin dibeli. 

Bina lebih banyak PPR

Untuk menangani stok perumahan PPR yang rendah di pulau itu, Jagdeep berkata kerajaan Pulau Pinang meminta kerajaan persekutuan untuk membina lebih banyak projek.

Rumah PPR dibina oleh kerajaan persekutuan dan diuruskan kerajaan negeri.

Jagdeep berkata, kerajaan negeri kini sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan persekutuan untuk membina rumah PPR di dua bidang tanah di Jelutong.

“Secara dasarnya mereka bersetuju. Kami masih menunggu mereka untuk memeriksa kesesuaian tanah,” katanya.

Jagdeep berkata dalam masa kurang lima tahun, permintaan rumah di tanah besar dijangka akan meningkat dengan pembangunan bandar satelit baharu seperti Batu Kawan, dan kemudahan akses serta perhubungan antara pulau dan tanah besar.

“Kita mempunyai 520 unit mampu milik dan kos sederhana rendah di Bandar Cassia, Batu Kawan yang hanya menunggu status strata. Sebanyak 90% daripada unit berkenaan sudahpun dijual. 

“Ini menunjukkan peningkatan permintaan apabila terdapat bandar baharu dan kemudahan awam,” katanya.

Penyelesaian jangka panjang 

Ong dari Institut Pulau Pinang berkata, tidak praktikal untuk meminta penduduk pualu berpindah ke tanah besar, projek pembangunan di masa akan datang perlu dihadkan “bagi memastikan kebolehgunaan dan menghalang kesesakan”.

“Terdapat projek yang sedang dibangunkan setinggi 40 hingga 50 tingkat dengan 15 unit rumah bagi satu tingkat. Kepadatan tinggi itu perlu dihentikan,” katanya. 

Ong berkata kerajaan begeri perlu melihat langkah jangka panjang seperti memperoleh lebih banyak unit daripada pemaju untuk dijual kepada mereka dengan harga berpatutan bagi menyelesaikan senarai menunggu pemohon.

Beliau juga berkata pemaju menjual rumah mampu milik pada harga yang tinggi dengan memberi tambahan seperti lot parkir tambahan dan lain-lain perlu diambil tindakan.

“Ini menjadikan unit kediaman itu lebih berpatutan bagi golongan yang berpendapatan tinggi. Ini menyumbang kepada senarai menunggu yang panjang,” katanya.

Beliau turut menggesa satu sistem pengurusan dan pemantauan perumahan yang efisyen diwujudkan bagi menyelesaikan permohonan dan penempatan rumah mampu milik. – 25 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen