HOSPITAL swasta di Sarawak diminta membantu kerajaan negeri menguruskan kes Covid-19 yang semakin bertambah di sana, kata Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) hari ini.
Presiden APHM Dr Kuljit Singh berkata susulan peningkatan jumlah kes Covid-19, hospital awam di sana mungkin berdepan masalah kekurangan kapasiti.
“Terdapat 3,732 kes positif Covid-19 dilaporkan pada 21 September tetapi bernasib baik kerana peratus Kategori 4 dan 5 satu digit,” katanya.
“Namun, jumlah kumulatif Kategori 4 dan 5 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad akan segera meningkat melebihi ruang yang ada dan membebankan tenaga kesihatan di hospital awam,” tambahnya.
Beliau berkata sebuah hospital swasta di Kuching, yang merupakan sebahagian daripada konglomerat, bersetuju menerima pesakit Covid-19 yang membayar sendiri dalam minggu berikutnya selepas naik taraf selesai dan kelulusan diperoleh.
Namun, katanya kebanyakan hospital swasta di Kuching mempunyai kapasiti tempat tidur yang kecil dan peruntukan ICU dan katil wad untuk pesakit Covid-19 adalah terhad.
Kuljit berkata hospital swasta lain di bandar ini juga sedang dalam perbincangan untuk memberikan bantuan jika diminta oleh kerajaan negeri.
“Kami berharap lebih banyak pesakit bukan Covid-19 dari hospital kerajaan ditempatkan di hospital swasta di Kuching yang akan memberi ruang bagi pesakit Covid-19 untuk dirawat di kemudahan kerajaan,” katanya.
“Proses penempatan ini mencapai kejayaan besar di Lembah Klang dengan 3,187 pesakit mendapat rawatan di hospital swasta dan ketika ini terdapat kira-kira 1,000 katil tersedia untuk ditempatkan pada masa depan.”
“Pulau Pinang setakat ini memindahkan 69 pesakit yang bermula 10 hari lalu dan proses kini berjalan dengan cepat dan hospital swasta di sana sudah merawat 1,325 orang pesakit Covid-19 yang membayar sendiri sejak wabak ini,” katanya.
Beliau berharap hospital swasta di Sarawak dapat mencontohinya dengan menerima pesakit Covid-19 yang membayar sendiri dan pesakit bukan Covid-19 dipindahkan ke kemudahan mereka.
Katanya, Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan APHM sejak awal tahun ini dan kerjasama awam-swasta membantu ribuan pesakit dalam wabak ini.
Sarawak mengalami lonjakan sejak akhir Julai sebelum turun sementara pada pertengahan September.
Semalam, 3,732 kes dilaporkan manakala purata tujuh hari adalah 3,547 pesakit. – 22 September, 2021.
Komen