SIASATAN awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) terhadap aktivis hilang Amri Che Mat bersambung hari ini, dengan isteri aktivis masih lagi memberi keterangan.
Norhayati Ariffin yang merupakan saksi pertama dipanggil memberi kesaksian pada Selasa menimbulkan kegemparan terhadap testimoni awalnya yang mengesyaki pihak berkuasa agama Perlis, mufti negeri Mohamad Asri Zainul Abidin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim bertanggungjawab terhadap kehilangan suaminya .
Beliau memberitahu panel kedua-duanya mengutuk, Perlis Hope, sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh suaminya baigi membantu golongan miskin di negeri ini.
Norhayathi berkata Asri juga memberi amaran kepada orang ramai agar berhati-hati mengenai aktiviti Perlis Hope yang dikatakan berkaitan dengan keganasan.
Shahidan dan Asri menafikan mengetahui mengenai kehilangan Amri.
Asri juga menuduh Norhayati tidak mengatakan kebenaran dalam siasatan awam, mendakwa Amri mengaku terlibat dalam ajaran Syiah di negeri ini.
Amri diculik 550m dari rumahnya di Padang Behor, Kangar. Polis kemudian menemui keretanya di Bukit Chabang.
Lelaki berusia 43 tahun, yang merupakan sebahagian daripada pasukan ekspedisi Gunung Everest 1997, dilaporkan memberitahu anak sulungnya akan keluar malam itu. Dia mempunyai empat anak perempuan, berumur 19, 17, 15 dan 10 tahun.
Dalam laporan polisnya, Norhayati, berkata terdapat kereta dan motosikal yang tidak dikenali diletakkan berhampiran rumah mereka pada hari aktivis itu hilang.
Siasatan itu dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.
Panel itu bertujuan untuk menentukan sama ada penculikan Koh dan Amri, serta kehilangan dua yang lain – Joshua dan Ruth Hilmy – pada 2016, adalah kes kehilangan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.
The Malaysian Insight membawa anda maklumat terkini mengenai prosiding hari ini.
4.40pm: Mah kemudian bertanya kepada pegawai Suhakam adakah mereka sudah menyampaikan sepina kepada Syed Azahar.
Pegawai Suhakam berkata mereka telah cuba menghubunginya tetapi gagal.
Mah kemudian bertanya kepada Faisol jika dia boleh menghubungi Syed Azahar dan meminta dia memberi keterangan pada siasatan ini.
Faisol berkata dia akan menghubungi Syed Azahar dan memintanya berbuat demikian.
Mah memberitahu kepada Faisol yang lebih selamat jika Syed Azahar memberi bukti dan meminta polis membantu mengesan Syed Azahar.
Mah juga meminta Faisol menghubungi seorang lagi saksi iaitu Saiful Hafdzan yang turut mendakwa menyaksikan penculikan itu.
Siasatan hari ini berakhir.
4.20pm: Mah bertanya kepada Faisol mengenai penculikan itu.
Faisol berkata seorang saksi memberitahu nampak tiga Toyota Hilux dan sebuah motosikal menghadang kereta Amri.
“Saya dapat maklumat dari pasukan saya yang cuba menyiasat kehilangan Amri pada 26 November.
“Mereka telah berjumpa seorang saksi bernama Syed Azahar. Dia memberitahu pasukan saya yang dia nampak Amri diculik.”
Faisol memberitahu, pasukannya kemudian membawa Syed ke balai polis untuk memberi keterangan.
4.10pm: Pegawai Suhakam bertanya kepada Faisol mengenai kehilangan Amri.
Faisol memberitahu yang dia mendapat tahu melalui abang iparnya.
Pegawai Suhakam kemudian bertanya jika kehilangan Amri ada kaitan dengan Perlis Hope.
Faisol berkata Amri diculik oleh sebuah kumpulan.
“Ada orang nampak dia diculik dan memaklumkan kepada saya.”
4.00pm: Siasatan Suhakam memanggil saksi ketiga iaitu Pengerusi PKR Perlis Mohammad Faisol Abdul Rahman yang juga sukarelawan Perlis Hope untuk memberi keterangan.
Pegawai Suhakam bertanya kepada Faisol di mana dia bertemu Asri.
Faisol memberitahu dia bertemu Amri pada 1997 ketika dia menjadi guru.
“Kami biasa berjumpa dan berbincang mengenai isu sosial dan melancong bersama.
“Kami juga pernah berbincang mengenai lawatannya ke Everest.”
3.50pm: Peguam keluarga Amri bertanya panel untuk membenarkan mereka menunjukkan gambar orang yang ditahan di lokap itu.
Peguam kemudiannya memberikan gambar itu kepada polis dan ahli panel.
Mah kemudiannya bertanya pada pemerhati polis adakah ianya lokap.
Pemerhati polis berkata yang ianya kelihatan macam lokap, tapi mereka perlu semak dulu.
3.40pm: Pemerhati polis bertanya Jamil, ketika ditahan, adakah beliau dihantar ke pusat tahanan atau lokap.
Jamal jawab lokap.
Pemerhati polis kemudian berkata yang balai polis itu hanya ada dua lokap. Jadi pemerhati polis itu bertanya, bagaimana 100 orang itu ditahan.
Mah mencelah dan bertanya adakah beliau (disumbatkan) ke dalam pusat tahanan, jabatan agama atau lokap polis.
Jamil mengulang kembali jawapannya sebelum ini yang lelaki, wanita dan kanak-kanak diletakkan di dalam lokap.
3.20pm: Peguam dari Majlis Peguam bertanya Jamil mengenai kenyataannya sebelum ini bahawa Amri tidak ada musuh yang beliau tahu, tetapi kemudiannya ada menyebut keterlibatan politik seperti Umno dan parti lain.
Jamil berkata, itu adalah pendapatnya kerana beliau sendiri tidak tahu siapa musuhnya.
“Saya cuma bagi pandangan saya. Tapi mungkin (ada keterlibatan).”
3.05pm: Pemerhati polis bertanya pada Jamil waktu pertama kali kenal Amri, berapa lama beliau dan Amri di Iran.
Jamil berkata mereka bersama selama 10 hari.
“Selepas mesyuarat dia sertai kami dalam beberapa siri lawatan.”
Pemerhati polis kemudiannya bertanya Jamil adakah beliau ada ijazah dalam pengajian Islam.
Jamil jawab, beliau mendapat ijazah dari Universiti malaya dan bekerja sebagai cikgu sehingga tahun 2001.
2.50pm: Peguam keluarga Amri menyoal Jamil mengenai kejadian yang berlaku di Perak pada 2014 bila mana Jamil dan Amri ditahan.
Jamil jawab, polis dan pihak berkuasa agama datang dan menahan lebih kurang 100 orang.
“Kami dalam sebuah majlis bila polis dan majlis agama datang dan ambil kami semua bawa ke pusat tahanan di Selama.”
Peguam kemudiannya bertanya pada Jamil, adakah beliau ada tanya sama polis kenapa mereka ditahan.
Jamil berkata, mereka diberitahu yang pihak berkuasa menahan mereka kerana menghadiri majlis yang berkait dengan Syiah.
2.35pm: Peguam keluarga Amri bertanya pada Jamil, soalan apa yang ditanya waktu pegawai polis Fauzi menyoal beliau di rumahnya.
Jamil berkata polis memberitahunya, apa-apa pun boleh terjadi pada Amri, yang mana boleh jadi bersifat politik, mengenai Perlis Hope atau bantuan kepada orang miskin.
Jamil bertanya pada polis adakah Amri masih hidup, dan polis tidak menjawab apa-apa.
1.05pm: Aishah bertanya sama ada Jamil adalah anggota atau sukarelawan Perlis Hope.
Jamil menafikannya tetapi dia menyokong Perlis Hope.
“Mereka melakukan banyak kerja yang baik dengan memberikan beras kepada golongan miskin tegar.”
Aishah bertanya apakah Perlis Hope melakukan sebarang aktiviti selain kerja amal.
Jamil berkata tiada aktiviti lain.
“Tiada aktiviti agama atau cuba menarik seseorang memeluk Islam.”
Siasatan berhenti rehat sejam untuk makan tengah hari.
12.45pm: Pegawai Suhakam menyoal Jamil sama ada Amri ada menyebut nama individu atau organisasi yang tidak suka dengan Perlis Hope.
Jamil berkata tidak, dia tidak nyatakan sesiapa.
Pegawai Suhakam bertanya Jamil bagaimana dia tahu Umno yang tidak suka dengan Perlis Hope.
“Amri kata mereka tidak suka. Kerana Perlis Hope masuk ke kawasan dan membina rumah perlindungan dan ia menunjukkan wakil rakyat kawasan berkenaan tidak menjaga kawasan itu.”
12.35pm: Pegawai Suhakam bertanya Jamil bila dia mengetahui tentang kehilangan Amri.
Jamil berkata dia dimaklumkan oleh isterinya pada hari berikutnya.
“Saya beritahu dia kami sepatutnya berjumpa tapi dia tidak muncul.
Pegawai Suhakam bertanya apa yang biasa dibualkan dengan Amri.
Jamil berkata Amri memberitahunya ada pihak tidak suka dengan Perlis Hope.
“Terdapat campur tangan politik dan ada kaitan dengan Umno yang tidak suka dengan usaha Perlis Hope membantu orang susah.”
12.15pm: Siasatan Suhakam memanggil saksi kedua Abdul Jamil Ahmad yang merupakan rakan Amri.
Pegawai Suhakam menyoal Jamil bila mereka bertemu.
Jamil berkaya mereka bertemu di Iran pada 2003.
“Saya bercuti di Tehran, Iran dan kami bertemu di sana. Kami kemudiannya menjadi kawan kerana sama-sama dari Perlis.”
Pegawai Suhakam bertanya bila kali terakhir Jalil berjumpa Amri.
“Saya sepatutnya berjumpa dengannga untuk minum kopi di Jitra pada 23 November tetapi dia tidak hadir.
“Saya cuba hubungi telefonnya dan dan dia menjawab, dia kedengaran seperti cemas.
“Saya kemudian terus ke restoran di Jitra di mana kami sepatutnya berjumpa.
“Dia tidak muncul jadi saya pulang ke rumah.”
11.50am: Mah bertanya kepada Norhayati sekiranya Amri pernah ke Iran.
Norhayati berkata dia tidak pernah ke Iran dalam tempoh tiga tahun yang lalu hingga empat tahun.
Aishah bertanya berapa kali Amri pergi ke Iran.
Norhayati berkata kira-kira tiga hingga empat kali.
Aishah bertanya bagaimana dia tidak tahu berapa kali suaminya pernah ke sana.
Norhayati berkata ia sudah lama dan tidak boleh mengingatinya.
Mah bertanya mengapa Amri ke Iran.
Norhayati berkata Amri kesana bagi urusan perniagaan.
“Dia biasanya pergi selama seminggu. Dia beli kurma dan madu dan kadang-kala bercuti.”
Siasatan berhenti rehat.
11.40am: Mah bertanya kepada Norhayati sekiranya Amri mengenali Asri secara peribadi, yang kemudiannya diakui Norhayati.
Norhayati juga menafikan mengenali atau pernah bertemu Shahidan semasa disoal Mah.
Mah bertanya sama ada Norhayati ada menerima sebarang tuntutan tebusan dan dijawabnya “tiada”.
Mah bertanya sama ada Amri mempunyai musuh peribadi.
“Dalam fikiran awak bolehkah anda beritahu kami mengapa Amri hilang?”
Norhayati berkata pada pendapatnya ia tiada kaitan dengan aktiviti forexnya dan ia adalah kerana Perlis Hope.
“Perlis Hope banyak membuat kerja amal dan ia menyebabkan orang atasan tidak senang.”
11.30am: Pesuruhjaya Aishah Bidin bertanya Norhayati mengapa dia menghantar empat anak angkatnya belajar di Thailand.
Norhayati berkata dia menghantar mereka ke sekolah asrama persendirian di Thailand kerana mereka keciciran.
“Mereka belajar di sana selama lima tahun.”
Pesuruhjaya Mah bertanya sama ada dia tahu di mana mereka belajar di Thailand.
Norhayati berkata dia tidak tahu nama sekolah dan lokasinya.
Mah kemudian bertanya kepadanya bagaimana dia tidak tahu.
Norhayati berkata Amri akan menghantar mereka atau menaiki pengangkutan sendiri.
Aishah bertanya kepada Norhayati mengapa dia menghantar anak-anaknya belajar di Iran.
Norhayati berkata kerana mereka mendapat biasiswa.
Pesuruhjaya Mah kemudian bertanya apakah dia tahu di mana mereka belajar di Iran dan sama ada ia terletak di Tehran.
Norhayati berkata mereka bukan belajar di Tehran.
11.15am: Pemerhati polis bertanya kepada Norhayati mengenai pemergian Amri ke Thailand.
Polis bertanya Norhayati mengenai kenyataannya yang Amri berada di Thailand pada 21, 22, 23 Oktober dan kembali pada 24 haribulan.
Polis kemudian berkata, mengikut Imigresen tiada catatan dia masuk dan keluar dari Thailand.
Polis kemudian bertanya sama ada dia boleh masuk ke Thailand tanpa pasport dan tiada rekod mengenainya.
Norhayati berkata Amri mempunyai pasport dan terdapat cop pada dokumen yang menunjukkan dia ke Thailand.
10.45am: Pemerhati polis bertanya Norhayati sekiranya Amri mempunyai bekas isteri.
Norhayati berkata Amri mempunyai seorang bekas isteri dan mereka bersama selama kira-kira tiga tahun.
Polis kemudian bertanya Norhayati jika dia mempunyai anak angkat.
Norhayati berkata dia mempunyai empat orang anak angkat.
Polis kemudian bertanya kepadanya di mana mereka berada dan dia memaklumkan dua daripadanya di sini dan dua lagi sedang belajar bahasa Parsi di Iran.
10.30am: Pemerhati polis bertanya Norhayati bilangan anaknya dan di mana mereka.
Norhayati berkata tiga anaknya di sini manakala seorang lagi sedang belajar bahasa Parsi di Iran.
Polis kemudian bertanya siapa penyumbang Perlis Hope.
Norhayati berkata semua orang adalah penyumbang.
“Para sukarelawan dan saya turut menyumbang kepada Perlis Hope.”
10.15am: Peguam keluarga Amri bertanya kepada Norhayati jika Amri memberitahu dia “bernikah mutaah” selepas pertemuan dengan Asri.
Norhayati berkata Amri tidak pernah memberitahunya tentang “nikah mutaah”.
Peguam kemudian berkata abangnya hadir pada pertemuan itu dan bertanya sama ada dia memberitahunya mengenai nikah mutaah itu.
“Tidak mereka berdua tidak memberitahu saya mengenai nikah mutaah.”
10.10am: Peguam keluarga Amri kemudian meminta Norhayati mengesahkan yang polis menjerit kepada anaknya yang berada di luar rumah.
Norhayati berkata dia sangat yakin polis menjerit pada anaknya.
“Saya berada di rumah dan mendengar polis menjerit kepada anak saya bertanya di mana ayah awak dan suruh dia turun.”
Mah kemudian bertanya bagaimana dia tahu jika polis menjerit.
Norhayati berkata dia dapat melihat polis melalui tingkap di rumahnya.
9.55am: Peguam keluarga Amri bertanya Norhayati mengenai artikel yang diterbitkan semalam di portal dalam talian mengenai wawancara dengan Asri.
Para peguam bertanya Norhayati sama ada dia tahu Amri terlibat dalam “nikah mutaah”.
Norhayati berkata dia tidak tahu apa dimaksudkan dengan “nikah mutaah”.
Peguam kemudian bertanya Norhayati mengenai artikel yang menyatakan Asri berkata Amri mungkin ke Iran atau Thailand kerana “nikah mutaah”.
Para peguam kemudian bertanya di mana pasport Amri.
Norhayati berkata dia menyimpan pasport suaminya.
Peguam kemudian berkata mereka akan memintanya membawa pasport itu.
9.40am: Peguam keluarga Amri menunjukkan Norhayati catatan Facebook Mufti Perlis Mohamad Asri Zainul Abidin yang dimuat naik semalam dan meminta membacakannya dan mengenal pasti orang dalam empat gambar itu.
Salah satu gambar menunjukkan Asri dan polis memasuki rumah Norhayati.
Pesuruhjaya Mah kemudian bertanya Norhayati mengenai keterangan awalnya yang mengatakan tiada siapa memasuki rumahnya.
Norhayati berkata dia tidak membenarkan mereka memasuki rumahnya.
“Selepas 10 minit, abang saya tiba di rumah dan dia membenarkan mereka masuk kerana mereka masih berkeras.” – 24 Januari, 2018.
Komen