RMK12 harus tumpu penjagaan kesihatan, digitalisasi, kata pakar ekonomi


Ragananthini Vethasalam

Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu menyerlahkan kekurangan dalam sistem penjagaan kesihatan negara, kata ahli ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2021.

PELABURAN dalam penjagaan kesihatan kesihatan dan ekonomi digital perlu diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai pelan pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang, kata pakar ekonomi.

RMK12 (2021- 2025) akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Ia sepatutnya dibentang pada 6 Ogos tahun lalu, tetapi ditangguhkan untuk dikaji semula susulan kesan ekonomi dunia akibat penularan Covid-19.

Ketua Penyelidik Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr Shankaran Nambiar memberitahu The Malaysian Insight, pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu menyerlahkan kekurangan dalam sistem penjagaan kesihatan negara.

Oleh itu, RMK12 perlu menumpu kepada akses kesihatan yang lebih meluas, cekap dan pantas.

“RMK12 perlu menumpu kepada pelan jangka panjang. Setakat ini semua pakej (rangsangan ekonomi) hanya bersifat jangka pendek untuk kebajikan rakyat,” katanya.

Dari segi strategi ekonomi, Nambiar berkata kerajaan perlu fokus kepada usaha untuk menghidupkan semula perindustrian, dengan memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran, mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing kurang mahir serta menggalakkan penggunaan teknologi.

Strategi ini, tambahnya harus disertakan dengan digitalisasi kerana pada dasarnya barangan masih perlu diniagakan.

“Apa gunanya bangunkan platform kalau kandungan tidak boleh dijual. Sebab itulah pentingnya perindustrian semula, begitu juga teknologi.”

Selain itu, Putrajaya juga tidak ketinggalan perlu berhati-hati dalam memilih projek, iaitu dengan menumpu kepada projek yang memberi keuntungan jangka sederhana serta membawa manfaat kepada rakyat, katanya.

“Secara teknikal, ini bermaksud kerajaan perlu memberi tumpuan kepada projek yang akan memberi kesan pengganda besar kepada ekonomi dan hubungan yang meluas.

“Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) harus jadi keutamaan kerana mereka paling terjejas akibat pandemik. Sudah tiba masanya untuk membina semula sektor ini,” jelas Nambiar.

Ketua Penyelidik MIDF Amanah Investment Bank Bhd Imran Yassin Yusof turut senada dengan Nambiar, berkata sektor kesihatan memerlukan peruntukan besar.

“Pelaburan dalam sistem kesihatan begitu penting bagi memastikan negara terus berdaya tahan sekarang dan pada masa depan dalam menghadapi pandemik,” katanya. – 22 September, 2021. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen