Nik Abduh mahu program bendung gejala LGBT diperkasa


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam Diyana Ibrahim

Ahli Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Aziz berkata program seperti Mukhayyam dan pendidikan agama harus dipergiatkan bagi membimbing golongan LGBT kembali ke pangkal jalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2021.

PROGRAM-program dibawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu terus diperkasakan dalam usaha membendung gejala negatif lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) daripada berleluasa, kata Nik Abduh Nik Aziz.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata program seperti Mukhayyam (perkhemahan) dan pendidikan agama harus dipergiatkan bagi membimbing golongan tersebut kembali ke pangkal jalan.

“Sedikit demi sedikit normalisasi berlaku dalam masyarakat meskipun undang-undang tidak membenarkannya.

“Munculnya golongan mak nyah yang berleluasa di medan sosial tanpa ada rasa bersalah berpakaian seperti seorang perempuan. Adakah perundangan dalam negara terlalu longgar untuk mengekang aktiviti sedemikian rupa,” katanya semasa sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen PAS itu juga berkata beliau bimbang dengan usaha pihak tertentu seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk mengiktiraf golongan LGBT di Malaysia.

Beliau mendakwa pada Suhakam pada Jun lalu telah membuka tawaran pencarian penyelidik bagi satu kajian bertajuk “The Feasibility of having Legislation on the Recognition of a third gender in Malaysia”, yang mensasarkan cadangan untuk memberikan hak kepada LGBT daripada sudut pandangan dan dasar kerajaan.

“Ironinya, kajian tersebut dikelolakan oleh pihak Suhakam, yang merupakan badan penting dalam menjaga hak asasi di negara ini.

“Adakah orientasi seksual dan identiti gender yang diperjuangkan dalam kerangka fikir golongan LGBT ini adalah tertakluk daripada sebahagian hak asasi manusia?” soal Nik Abduh. – 21 September, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen