Kerajaan bayar syarikat pembangun MySejahtera mulai 1 April, kata PM


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam Diyana Ibrahim

Aplikasi MySejahtera bermula sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan tempoh CSR itu tamat pada 31 Mac tahun ini, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2021.

KERAJAAN telah memutuskan untuk membuat pembayaran kepada syarikat pembangun aplikasi MySejahtera bermula 1 April tahun ini, kata Ismail Sabri Yaakob.

Pembayaran tersebut selaras dengan kepentingan MySejahtera sebagai aplikasi nasional yang boleh dipertingkatkan dalam menguruskan pandemik Covid-19, menurut perdana menteri dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

“Penilaian bagi kaedah dan jumlah pembayaran sedang dimuktamadkan oleh pihak Kerajaan yang diterajui oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan turut dianggotai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN).”

Aplikasi MySejahtera bermula sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan tempoh CSR setahunnya tamat pada 31 Mac tahun ini, menurut perdana menteri. 

Bagaimanapun, beliau tidak berapa jumlah yang dibayar kepada syarikat pembangun aplikasi MySejahtera.

Ahli Parlimen Bera itu menjawab pertanyaan Alice Lau Kiong Yieng (Lanang-PH) mengenai jumlah kos perbelanjaan bagi aplikasi MySejahtera yang mendapat kritikan kerana  perkhidmatan yang kurang memuaskan. 

Kritikan bahawa aplikasi MySejahtera masih banyak masalah dan perkhidmatannya kurang memuaskan kurang tepat, kata Ismail Sabri.

“Ini kerana sejak awal pembangunan, aplikasi ini terus ditambahbaik secara berterusan.”  – 21 September, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen