PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengucapkan tahniah kepada negara kerana mencapai 80% vaksinasi Covid-19 bagi populasi dewasa setakat pukul 1 petang hari ini.
“Tahniah! Malaysia mencapai 80% populasi dewasa negara telah lengkap divaksinasi.Teruskan usaha kita perangi Covid-19,” katanya menerusi Twitter.
Vaksin sepenuhnya ditakrifkan sebagai telah menamatkan tempoh menunggu keberkesanan vaksin. Ia adalah 14 hari setelah menerima suntikan kedua bagi mereka yang divaksin dua dos, dan 28 hari bagi mereka yang diberi dos pertama vaksin.
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah adalah individu pertama yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Malaysia di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula pada 24 Februari.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia dicapai pada pukul 1 tengah hari ini.
“Walaupun sasaran awal adalah 80% populasi dewasa, sekarang @JKJAVMY akan berusaha untuk menjejaki 20% lagi yang belum atau enggan divaksinasi,” katanya menerusi Twitter.
Menurut laman web CovidNow pada jam 11.59 malam tadi, 18.63 juta atau 79.6% orang dewasa di Malaysia telah diberi vaksin sepenuhnya, kira-kira tujuh bulan selepas program imunisasi kebangsaan bermula.
Lebih 40.66 juta dos vaksin telah diberikan setakat ini.
Pada awalnya ia hanya disasarkan kepada golongan dewasa, kini kempen vaksinasi diperluas kepada remaja.
Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan suntikan dos penggalak, pertama untuk individu berisiko tinggi seperti warga tua, petugas barisan hadapan kesihatan dan orang yang mempunyai masalah imun. – 21 September, 2021.
Komen