Malaysia sokong Afghanistan, tidak iktiraf Taliban, kata menteri luar


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam Diyana Ibrahim

Taliban tawan Kabul pada 15 Ogos lepas dan menguasai Afghanistan buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun selepas tentera AS berundur dari negara itu. – Gambar EPA, 21 September, 2021.

MALAYSIA akan menyokong Afghanistan tetapi masih belum mengiktiraf kerajaan sementara Taliban yang mengambil alih pentadbiran negara itu bulan lalu, kata Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata belum ada negara yang mengakui pemerintah Taliban di Afghanistan dan Malaysia kini sedang mengikuti rapat perkembangan di negara itu.

“Saya ingin jelaskan, sehingga kini masih tiada negara luar yang mengiktiraf kerajaan sementara Taliban, termasuk negara yang berjiran dengan Afghanistan.

“Seperti Malaysia, negara itu juga sedang meneliti perkembangan di sana (Afghanistan),” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Saifuddin, Malaysia hanya akan memutuskan isu pengiktirafan berdasarkan penerimaan rakyat Afghanistan terhadap pemerintah Taliban.

“Kami melihat pemerintah Taliban tidak inklusif dan tidak memasukkan etnik atau wanita lain dalam pemerintahan.

“Malaysia percaya aspek seperti inklusif sangat penting untuk memastikan pemerintahan yang stabil,” katanya.

Saifuddin menjawab pertanyaan Dr Hatta Ramli (Lumut-PH), Larry Soon (Julau-PN), Oscar Ling (Sibu-PH) dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-PN) mengenai isu Malaysia mengiktiraf pemerintah Taliban di Afghanistan.

Saifuddin berkata biarpun masih belum mengiktiraf negara itu, Malaysia menyumbangkan AS$100,000 (RM419,000) kepada Afghanistan dalam bentuk misi kemanusiaan.

Sumbangan itu juga sudah dimaklumkan kepada sekretariat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 13 September.

“Sumbangan itu akan diberikan melalui pelbagai organisasi antarabangsa untuk memastikan bantuan itu sampai kepada warga Afghanistan yang memerlukannya,” kata Saifuddin.

Sementara itu, kenyataan sokongan yang dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang terhadap Taliban selepas mengambil alih Afghanistan  bukan bermaksud pemimpin itu mempunyai hubungan terus dengan kumpulan itu, tambah Saifuddin.

Beliau berkata umum perlu faham kewajaran Hadi berbuat demikian kerana pemimpin itu mempunyai hubungan baik dengan beberapa tokoh atau kumpulan lain di Afghanistan.

“Pada waktu sama kita punya hubungan tak rasmi menerusi tokoh tertentu di negara kita yang bukan mempunyai hubungan dengan Taliban tapi dengan kumpulan lain berada di Afghanistan,” katanya menjawab soalan tambahan Hatta.

Beliau berkata bukan saja Hadi yang mempunyai hubungan tidak langsung itu namun beberapa ahli Parlimen lain termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Taliban menawan Kabul pada 15 Ogos lepas dan menguasai Afghanistan buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun selepas tentera Amerika Syarikat berundur dari negara itu. – 21 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen