PELANCONG yang kembali dari percutian mereka di Langkawi tidak boleh dikecualikan daripada menjalani ujian Covid-19, kata Dr Dzulkefly Ahmad.
Walaupun pulau di Kedah itu kini dalam gelembung pelancongan dan dianggap selamat untuk bercuti bagi mereka yang lengkap vaksinasi, ujian saringan masih perlu diwajibkan ke atas pengunjung, kata bekas menteri kesihatan kepada The Malaysian Insight.
Ini kerana tidak ada jaminan sama ada seseorang itu tidak akan dijangkiti virus ketika berada di pulau peranginan berkenaan.
“Kita tidak mahu pelawat membawa virus Covid-19 ke Langkawi, jadi mereka perlu jalani ujian sebelum ke sana.
“Sama juga, kita tidak mahu mereka bawa balik virus ke tempat masing-masing, kerana mereka juga boleh dijangkirti ketika berada di sana,” kata Dzulkefly.
Ujian saringan ke atas pelancong yang tiba di pulau itu merupakan sebahagian daripada projek pilot gelembung perjalanan yang dilancarkan pada 16 September.
Pelancong disaring di lapangan terbang sebelum memasuki puilau berkenaan, atau boleh menunjukkan keputusan negatif yang diambil dalam tempoh 48 jam sebelum perjalanan.
Setakat 19 September, Kementerian Kesihatan mengesan 10 kes Covid-19 daripada ujian yang dijalankan di pintu masuk pulau berkenaan, yang mana lima kes dikesan pada hari pertama, empat pada hari kedua dan satu pada hari ketiga.
Dzulkefly yang juga pengerusi jawatankuasa khas Covid-19 Selangor mencadangkan agar pelancong menggunakan kit ujian kendiri RTK-Antigen sebelum kembali ke kediaman masing-masing.
Terutama dengan varian Delta yang sangat cepat merebak, beliau berkata ujian saringan itu merupakan satu langkah yang bijak, baik untuk pelancong melalui udara atau darat, untuk mencegah virus itu merebak ke bahagian lain di negara ini.
“Mereka (pelancong) harus membuat ujian sendiri, terutama jika masa tinggal mereka lebih dari lima (5) hari dan mengalami gejala ringan, sebelum meninggalkan Langkawi, menggunakan kit ujian kendiri air liur.
“Selain melalui udara, mereka yang datang melalui jalan darat adalah dari Kedah, Perlis atau Pulau Pinang, yang mana varian delta juga ada di mana-mana. Oleh itu, saya fikir adalah bijak jika mereka diuji sebelum meninggalkan pulau itu, menggunakan kit ujian RTK-Ag air liur,” katanya.
Dengan perlu diambil kira tempoh inkubasi, Dzulkefly berkata ujian RTK-Antigen air liur juga saling berkait, terutama jika mereka rasa tidak sihat sebelum mula bekerja dalam beberapa hari selepas itu.
“Ini adalah ‘kesulitan baharu’ ujian mingguan dan tidak keluar bekerja apabila didapati positif akan menjadi ‘normal seterusnya’.
“Ini yang akan berlaku jika kita mahu hidup bersama virus ini dan menerima hakikat ia ada di sekeliling kita,” katanya.
Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata ia menyasarkan kira-kira 200,000 pelancong domestik tiba di Langkawi antara bulan ini hingga Disember.
Menterinya, Nancy Shukri berkata 30,000 pelancong dijangka melawat pulau pelancongan itu bulan ini susulan pembukaan semula Langkawi di bawah program gelembung pelancongan.
Dzulkefly berkata program gelembung pelancongan Langkawi memang memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia tetapi mereka dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard dengan ketat, jika benar-benar mahu menikmati dan mengekalkan kebebasan baharu ini.
Beliau meluahkan kebimbangan dan keraguan adakah hospital di pulau itu akan dapat mengendalikan kemungkinan berlaku lonjakan kes secara tiba-tiba.
“Jika kita tidak mengguna pakai asas kesihatan awam, semua usaha murni ini akan sia-sia. Kes aktif di Langkawi kira-kira 700 dan kes harian sekitar 40.
“Apa yang kita tidak mahu ialah berlaku gelombang wabak di Langkawi kerana saya tidak pasti sama ada Hospital Langkawi dapat mengendalikan lonjakan kes atau tidak,” katanya.
Dzulkefly berkata Malaysia patut jadikan pengajaran daripada pengalaman Singapura, di mana negara itu jiran itu sudah mengisytiharkan berada dalam fasa endemik tetapi menyaksikan lonjakan kes dan kini patah balik kepada ujian saringan bersasar dan penjejakan kontak.
Menurut pejabat kesihatan daerah di Langkawi, carta purata pergerakan 14 hari di pulau itu menunjukkan ia merekodkan 648 kes aktif dan kumulatif 4,712 kes. Sebanyak 42 kes baharu dilaporkan semalam.
Pejabat kesihatan berkata setakat ini tiada kes dikesan dalam kalangan pelancong yang tiba di pulau itu. – 20 September, 2021.
Komen