Lantikan taraf menteri satu bentuk sogokan, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam Mohd Farhan Darwis

Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan melantik ke jawatan bertaraf menteri satu amalan yang tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan. – Gambar tangkap layar Facebook, 20 September, 2021.

PELANTIKAN jawatan bertaraf menteri sebagai wakil kerajaan adalah satu bentuk sogokan, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam Dewan Rakyat hari ini.

“Ini adalah satu jenis sogokan juga kerana dia (penerima) tumpu bukan kepada tugas yang nak dilakukan, tetapi sebaliknya dia menumpu kepada upahan yang akan didapati, oleh orang yang beri taraf menteri,” kata ahli Parlimen Langkawi itu ketika perbahasan Titah Diraja.

Pengerusi Pejuang itu tidak menyebut nama sesiapa walaupun sebelum ini beliau dilaporkan mengkritik bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berbuat demikian.

Pada awal bulan ini, Muhyiddin dilantik sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.

Beliau dilantik oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang menggantikannya setelah beliau meletak jawatan berikutan hilang sokongan majoriti ahli Parlimen bulan lepas.

Dr Mahathir berkata tindakan melantik ke jawatan bertaraf menteri satu amalan yang tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sepatutnya kita ada kriteria yang tertentu sebelum kita dapat lantik seseorang untuk mendapat taraf menteri.

“Jika tidak, ia akan menjadi sogokan kepada penyokong-penyokong kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun Dr Mahathir mengakui beliau juga pernah memberikan jawatan bertaraf menteri ketika menjadi perdana menteri.

“Saya mengaku semasa saya jadi perdana menteri dahulu saya juga telah melantik orang berjawatan menteri. 

“Tetapi jawatan itu diberi kepada seorang yang sudah bersara daripada politik, sebab tugas dan kepakarannya dalam bidang-bidang tertentu,” katanya.

Dr Mahathir berkata amalan ini harus ditamatkan melalui reformasi yang akan diadakan oleh kerajaan. – 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen