Warga Singapura kesal, mohon maaf kerana dera anjing 


Noel Achariam

Terry Yee yang menerima hukuman denda kerana mendera anjing turut berdepan dengan hukuman yang lebih berat membabitkan reputasi, perniagaan dan juga kesan kepada kehidupannya.– Gambar The Malaysian Insight, 23 Januari, 2018.

SELEPAS membayar denda RM8,000, warga Singapura Terry Yee memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana mendera anjing pengawal di Puchong, 

Yee berkata, dia amat menyesali perbuatan yang dilakukan ke atas anjing berkenaan. 

“Permohonan maaf ini bukanlah sesuatu yang saya reka. Denda yang saya bayar bukan besar, namun saya terpaksa menanggung yang lebih teruk selepas perniagaan, reputasi dan kehidupan saya musnah selepas insiden itu. 

“Ini lebih daripada satu hukuman. Saya mohon maaf atas apa yang saya lakukan,” katanya ketika ditemui di Publika Shopping Gallery di Hartamas, hari ini. 

Yee membayar denda sebanyak RM8,000 atau berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal berbuat demikian yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 8 Januari lalu atas kesalahan mencederakan dan menyebabkan penderitaan kepada seekor anjing. Yee mendera anjing bernama Furby di pondok pengawal keselamatan di Taman Melody, Bandar Kinrara, Puchong  pada jam 8.49 malam pada 1 April tahun lalu. 

Yee dilihat berulang kali memukul anjing berkenaan dengan topi keledar dalam video klip berdurasi hampir tiga minit, yang tersebar di media sosial. 

Yee berkata pengguna media sosial tidak henti-henti menghukumnya selepas video berkenaan tular. 

“Saya tidak sakit hati (kepada mereka); seorang atau dua menghukum saya…Terdapat juga ancaman, ada yang datang ke kedai saya dan bertanya dengan pekerja. Tetapi semuanya sudah tenang.”

Yee yang memiliki dua buah kedai di Kuala Lumpur berkata, malah terdapat syarikat yang bekerja dengannya selama beberapa tahun turut menghentikan urusan  perniagaan mereka.

“Perniagaan saya menanggung kerugian yang besar dan saya terpaksa menutupnya. Malah keluarga saya pun minta saya kembali ke Singapura.”

Yee berkata, dia bertindak sedemikian kerana anjing berkenaan menyerangnya sejak beberapa bulan. 

“Semua orang melihat bahagian (rakaman video) di mana saya bertindak ke atas anjing itu tetapi saya tiada niat lain.

“Apa yang saya lakukan memang salah. Saya hilang sabar kerana najing berkenaan menyerang saya beberapa kali ketika saya menunggang basikal.”

Yee berkata, jirannya juga merasakan dia sudah dihukum sewajarnya kerana tindakan itu. 

“Saya didatangi oleh jiran beberapa kali dan ada yang merasakan ia (hukuman ke atas Yee) sudah terlalu lama. Salah seorang penduduk berkata jika ia berlaku ke atss dirinya, dia pun akan melakukan perkara yang sama atau lebih teruk.” 

Yee, yang memiliki anjing jenis dachshund berbulu panjang, berkata dia adalah seorang pencinta haiwan yang memilih haiwan sebagai teman kepada manusia.

“Saya sukakan anjing lebih daripada manusia. Saya mempunyai ikan dan burung dan anak perempuan saya tahu mengenainya. Malah anjing saya pun tidur di katil saya kerana kami tidka boleh berpisah. Ia ironik apa yang berlaku.”

Ditanya mengapa dia menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah, peguam Yee, Joshua Andran berkata anak guamnya membuat keputusan untuk mengakui kesalahan itu selepas membaca komen di media sosial.

“Dia datang kepada kami, dan kami memutuskan untuk mewakilinya.”

Yee didakwa di bawah Seksyen 44(1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 1953 (Pindaan 2006), yang dibacakan bersama Akta Haiwan (Pindaan 2013), yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000, penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duannya sekali jika sabit kesalahan. – 23 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen