KES harian Covid-19 di negara ini menurun untuk empat hari berturut-turut selepas Malaysia mencatatkan kes terendah hampir dua bulan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 14,954 jangkitan baru dilaporkan setakat tengah hari ini.
Kali terakhir Malaysia melaporkan jumlah kes terendah berbanding hari ini adalah pada 26 Julai dengan 14,516 jangkitan.
Noor Hisham berkata Sarawak mendahului kes harian untuk lima hari berturut-turut dengan 2,707 kes baru diikuti Selangor (2,028 kes) dan Johor (1,948 kes).
Lembah Klang, yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur (383) dan Putrajaya (19) menyumbang kepada 2,430 kes atau 16% daripada keseluruhan kes yang dilaporkan hari ini.
Negeri lain yang melaporkan kes baru ialah Kelantan (1,420), Sabah (1,356), Pulau Pinang (1,259), Perak (1,222), Kedah (809), Pahang (705), Terengganu (671), Melaka (207), Negri Sembilan (144 ) dan Perlis (76).
Labuan, satu-satunya wilayah persekutuan di bawah fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, tidak melaporkan kes baru hari ini.
Bagi keseluruhan kes mengikut negeri dan wilayah, Selangor menduduki tangga teratas dengan 658,309 kes diikuti Sabah (185,577) dan Kuala Lumpur (182,864).
Sementara itu, Kementerian Kesihatan dalam kenyataan menyebut 18,295,012 orang atau 78.2% populasi dewasa di negara ini kini diberi vaksin sepenuhnya terhadap Covid-19.
Kementerian itu menyebut 232,559 dos vaksin diberikan semalam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, di mana 73,106 menerima suntikan pertama manakala 159,453 lagi melengkapkan dos kedua.
Ini menjadikan jumlah dos vaksin yang diberikan di bawah program ini kepada 40,155,975. – 19 September, 2021.

Komen