KERAJAAN Sabah membenarkan 10 operasi dan aktiviti bagi individu yang lengkap divaksin bermula Isnin ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun.
Jurucakap Covid-19 itu berkata, aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal membabitkan pengoperasian fasiliti terbuka dan tertutup dibenarkan, selain aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik dan zumba dibenarkan dalam fasiliti dengan 50% kapasiti atau tidak melebihi 30 orang, mana-mana lebih rendah.
Beliau berkata, aktiviti ‘hiking’ dengan kapasiti 50% atau tidak melebihi 30 orang di sesebuah kawasan juga dibenarkan, selain operasi pusat latihan maritim serta pusat latihan penerbangan.
“Kolam memancing juga dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 6 petang dengan kapasiti sama, juga dibenarkan aktiviti kapal persiaran domestik di perairan Sabah dengan kapasiti 50%. Bagaimanapun, semua aktiviti kelab malam dan pub masih tidak dibenarkan.
“Turut dibenarkan mesyuarat secara bersemuka dengan kapasiti sama dan pengoperasian pejabat swasta, mengikut pekerja yang divaksin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu, Masidi berkata, operasi kilang dan kedai minuman keras turut dibenarkan dan semua institusi pengajian tinggi di bawah kawal selia Kementerian Pengajian Tinggi akan dibuka secara berperingkat.
Mengulas kes Covid-19 hari ini, sebanyak 1,395 kes dicatat dengan jumlah kumulatif 184,221 kes manakala kes sembuh adalah 1,775 orang dengan jumlah kumulatif 158,502 orang manakala 4,203 pesakit masih dalam rawatan. – Bernama, 18 September, 2021.
Komen