ADUN, petugas jalani ujian saringan sebelum Sidang DUN Sabah


Sidang DUN Sabah bermula di Kota Kinabalu Selasa ini. – Gambar Facebook, 18 September, 2021.

SEMUA wakil rakyat dan petugas perlu melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19 sebelum menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Selasa ini.

Selain itu, mereka diwajib menjalani ujian calitan RTK-Antigen 48 jam sebelum hari perasmian sidang itu.

Speaker DUN Sabah Kadzim M Yahya, berkata keputusan ujian saringan itu hendaklah dikemukakan kepada pejabat DUN selewat-lewatnya Isnin ini dan selain itu penghadang antara ahli DUN juga disediakan di dewan persidangan.

Beliau berkata, langkah itu sebagai salah satu prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Kadzim turut menasihatkan semua ahli DUN supaya tidak terlalu lama berada di dalam dewan bagi mengelakkan jangkitan.

“Bagi tujuan itu, kita akan memendekkan tempoh persidangan dan ahli DUN hanya akan membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah (Tun Juhar Mahiruddin),” katanya kepada pemberita selepas meninjau raptai persidangan itu di Bangunan DUN Sabah, Teluk Likas di Kota Kinabalu hari ini.

Mengenai jumlah kehadiran ahli dewan, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan untuk pengecualian hadir pada persidangan 3 hari itu.

“Kita lihat Isnin ini ada atau tidak sebab kita pun maklum beberapa Yang Berhormat ini adalah Ahli Parlimen dan mereka masih bersidang (Dewan Rakyat),” katanya. – Bernama, 18 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen