SEBANYAK 11 lagi medan selera di pusat rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah di Lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dibuka semula hari ini.
Menurut PLUS dalam satu kenyataan, pembukaan itu adalah susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan pengoperasian pada kapasiti penuh atau 100% berikutan 80% kakitangan dan rakan niaga syarikat itu lengkap divaksinasi.
Lokasi terbabit adalah R&R Tapah (arah selatan dan utara), Rawang (arah utara), Dengkil (arah selatan dan arah utara) dan Pagoh (arah selatan).
Sementara itu, R&R Ulu Bernam (arah selatan) akan mula beroperasi Isnin ini, manakala R&R Seremban (arah selatan dan arah utara), Hentian Sebelah Nilai (arah utara) dan Serdang (arah utara) dijangka dibuka pada Selasa.
Medan selera di Hentian Sebelah Simpang Pulau (arah selatan), Mambau (arah timur dan arah barat), Sungai Buloh (arah selatan) dan Restoran Jejantas Sungai Buloh mula beroperasi semalam.
“Bagi verifikasi untuk makan di dalam premis, pelanggan yang menerima vaksinasi sepenuhnya dikehendaki menunjukkan status vaksinasi MySejahtera Covid-19 masing-masing semasa memesan makanan di premis yang dikendalikan oleh rakan niaga kami,” menurut kenyataan itu.
Pelanggan lebuh raya yang belum menerima vaksinasi penuh boleh memilih untuk membungkus makanan atau ‘take-away’ selain memesan makanan menggunakan fungsi tempahan awal di aplikasi PLUS bagi meminimumkan kontak fizikal. – Bernama, 18 September, 2021.
Komen