KERJASAMA di antara PAS dan PKR masih boleh dibincangkan, kata bekas ketua pembangkang Anwar Ibrahim.
Anwar berkata pada media selepas sesi pendengaran kes saman fitnah RM100 juta di mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
“Pertama, saya minta kirim salam dan harap Ustaz Hadi Awang makin sihat, tapi itulah kita ikut keputusan. Kita ada persetujuan untuk bincang lebih teliti.
“Kita harap boleh bincang lagi,” katanya yang tidak dapat mengulas lanjut dengan siapa persetujuan dibuat.
Namun, segala perbincangan perlu dibuat selepas kepulangan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.
“Kita hanya perlu tunggu Azmin pulang,” katanya lagi.
Bagaimanapun, pihak wartawan tidak dibenarkan meneruskan pertanyaan selepas pegawai penjara menarik ketua umum PKR itu.
Anwar mengulas kemelut antara PKR dan PAS yang kembali dingin selepas Majlis Syura memutuskan tahaluf siyasi antara dua parti.
Katanya perbincangan mengenai isu kedudukan tiga exco Selangor yang dipegang PAS masih boleh dibincang.
Pendengaran kes saman terhadap Khairy Jamaluddin itu ditangguh kepada 2 Jun depan.
Anwar memfailkan saman terhadap Khairy pada 7 Mac 2008 mendakwa Khairy yang ketika itu timbalan ketua pemuda Umno, mengeluarkan kenyataan fitnah kepadanya dalam ceramah di Lembah Pantai pada 20 Feb tahun itu. – 19 Mei, 2017.
Komen