Projek terowong Pulau Pinang lebih telus dari ECRL, kata Guan Eng


Looi Sue-Chern

Hari ini Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengulang kembali kenyataannya sebelum ini yang projek terowong bawah laut dilakukan secara tender terbuka. Dalam masa sama beliau turut menghentam SPRM kerana mengamalkan sifat pilih kasih. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 23 Januari, 2018.

KETUA Menteri Pulau Pinang hari ini mempersoalkan kenapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terkejar-kejar menyiasat projek tender terbuka terowong bawah laut, bukannya menyiasat projek tender terus kerajaan persekutuan.

Persoalaan yang dibangkitkan Lim Guan Eng itu merujuk kepada projek Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion yang dianugerahkan secara terus kepada kontraktor China pada 2016.

Projek ECRL yang akan menyambungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan telah dianugerahkan kepada China Communication Construction Company (CCCC) pada 2016.

“Projek ECRL dianugerahkan secara terus kepada kontraktor tanpa melalui tender terbuka. Kenapa projek ini tak disiasat?” katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini.

Tambah Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP, projek terowong bawah laut dan tiga lebuh raya di pulau itu dilaksanakan melalui tender yang terbuka.

Kenyataan beliau itu berikutan laporan berita semalam mengenai penafian oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (operasi) SPRM Azam Baki bahawa suruhanjaya itu mengamalkan sikap pilih kasih dalam penyiasatan berkaitan projek terowong dan tiga lebuh raya itu.

Azam berkata SPRM sentiasa profesional dalam melaksanakan tugas mereka.

Beliau turut dilaporkan berkata yang mereka sedang menyiasat tuduhan “laporan bocor” yang disiarkan oleh akhbar arus perdana bahawa beberapa politikus menerima pulangan atas kerja sama berhubung projek di Pulau Pinang itu.

Guan Eng berkata, Azam masih tidak menampilkan bukti kebocoran maklumat yang mana dikatakannya sebagai palsu.

“Jelas ada pilih kasih. Kami harap SPRM boleh kekalkan integriti mereka dan tak dilihat sebagai terlibat dengan penyalahgunaan kuasa atau mencari salah (pembangkang) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 ini,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng turut mengulang kembali kenyataannya sebelum ini bahawa tidak ada pembayaran dibuat untuk projek terowong itu yang masih berada dalam peringkat kajian.

“Tak ada sesen atau seinci tanah pun telah diberikan untuk (projek) terowong itu,” katanya. – 23 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen