BUKAN semua doktor mahu menjadi pakar kerana ada sebahagian mereka sudah berpuas hati dengan status sebagai pegawai perubatan biasa, kata jurucakap kumpulan Hartal Doktor Kontrak.
Jurucakapnya Dr Mustapha Kamal A. Aziz, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) perlu melihat perkara ini dalam gambaran lebih besar.
Hartal memperjuangkan jawatan tetap bagi doktor kontrak, dengan ratusan petugas penjagaan kesihatan melakukan mogok pada 26 Julai sebagai tanda protes terhadap sistem kontrak yang tidak adil.
“Ia adalah proses dinamik dan harus dilihat pada skala lebih besar. Tidak semua orang mahu menjadi doktor pakar. Sama seperti bidang lain, terdapat mereka yang lebih senang berada pada tahap sedia ada. Sebagai contoh, pegawai perubatan mungkin ingin tetap berada dalam jawatan yang sama,” Dr Mustapha memberitahu The Malaysian Insight.
“Kekurangan doktor pakar bukanlah perkara baharu. Masalahnya sudah wujud sebelum sistem kontrak bermula. Tetapi sistem ini mendedahkan masalah di Kementerian Kesihatan. Ini adalah simptom, bukannya penyakit,” tambah beliau.
Dr Mustapha berkata latihan pakar hanya boleh dilakukan oleh pegawai perubatan kontrak jika kerajaan memutuskan untuk menjadikan sistem kemasukan lebih fleksibel.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin baru-baru ini memberitahu Dewan Rakyat yang negara tidak menghadapi kekurangan doktor tetapi pakar.
Beliau berkata 28,000 pakar diperlukan menjelang 2030 seiring bertambahnya usia populasi dan kejadian penyakit tidak berjangkit meningkat.
Pada masa ini, terdapat 13,000 pakar dalam penjagaan kesihatan awam dan swasta.
Dr Mustapha berkata kumpulan itu berharap dapat berjumpa dengan Khairy untuk membincangkan isu yang merangkumi pegawai perubatan kontrak.
Mengenai sama ada protes Hartal kedua diadakan, beliau berkata mereka akan memberi Khairy peluang untuk menyelesaikan isu doktor kontrak terlebih dahulu sebelum mengambil langkah seperti itu.
“Khairy berjanji menyelesaikan masalah ini dalam tempoh 100 hari. Kami akan tunggu. Tidak adil baginya jika beliau tidak diberi peluangn untuk menunjukkan apa yang boleh dilakukan dalam portfolio baharunya,” katanya.
Sistem kontrak diperkenalkan pada 2016 berikutan jumlah graduan perubatan yang tinggi berbanding penempatan.
Memetik data kementerian, Khairy baru-baru ini berkata terdapat 23,096 pegawai perubatan kontrak, di antaranya 23,077 dalam kontrak sementara 19 orang lagi adalah doktor pakar.
Peningkatan lulusan perubatan mendorong kerajaan Barisan Nasional ketika itu memperkenalkan sistem kontrak.
Khairy berkata antara 2009 hingga 2015, terdapat 3,000 lulusan perubatan setahun.
Bagaimanapun, sejak 2016 jumlahnya meningkat kepada 5,000-6,000 orang setahun, yang mengakibatkan sistem kontrak diperkenalkan.
Pegawai perubatan kontrak diberi emolumen yang sama dengan kakitangan tetap. Mereka juga diberi faedah lain seperti cuti, perubatan dan tempat tinggal.
Pada 14 Julai, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh kontrak selama dua tahun lagi bagi mereka yang sudah tamat dua tahun perkhidmatan.
Mereka juga akan diberi lanjutan jika diterima untuk mengikuti latihan kepakaran.
Kerajaan juga ingin memperluas program tajaan persekutuan kepada petugas perubatan dan kesihatan kontrak untuk melanjutkan pelajaran.
Ia sekarang tersedia bagi mereka yang mendapat jawatan tetap.
Kementerian Kesihatan juga bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam, Perbendaharaan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi dan agensi lain berkaitan di bawah jawatankuasa khas untuk membuat rancangan jangka pendek dan panjang bagi menyelesaikan masalah doktor kontrak. – 18 September, 2021.
Komen