Bantuan GKP4.0 dibayar Selasa ini, kata PM


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berharap bantuan ini meringankan beban dan membantu aliran tunai buat PKS mikro seperti pemilik gerai makanan, kedai gunting rambut, bengkel dan kedai kek dan sebagainya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2021.

PENERIMA Geran Khas Prihatin 4.0 (GKP4.0) di bawah skim bantuan kewangan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro, akan menerima bantuan RM1,000, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata hari ini.

Beliau berkata penerima GKP4.0 ini akan menerima RM500 bulan ini dan selebihnya pada bulan depan.

Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP, bermula 21 September ini.

“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada lebih 1 juta PKS mikro, bagi meringankan beban kewangan mereka dalam mengharungi tempoh yang masih mencabar,” katanya.

Semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 20 September 2021 melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my.

Tambah Ismail Sabri kerajaan telah memperuntukkan secara keseluruhan RM6.08 bilion di bawah GKP sejak Covid-19 melanda negara.

“Saya berharap bantuan ini dapat menggerak dan memulihkan kembali sektor PKS yang merupakan enjin pertumbuhan ekonomi Keluarga Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berharap bantuan ini meringankan beban dan membantu aliran tunai buat PKS mikro seperti pemilik gerai makanan, kedai gunting rambut, bengkel dan kedai kek.

Tambahnya kerajaan akan terus mengutamakan pemain industri ini kerana mereka merupakan antara sektor yang paling terjejas sepanjang pandemik Covid-19. – 17 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen