Malaysia perlu dasar, strategi tangani Long Covid, kata Mat Hasan


Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menyeru kerajaan membuat dasar dan strategi lebih padu agar dapat kenal pasti, selidik dan pulihkan pesakit Long Covid. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2021.

NEGARA perlu dasar dan strategi kenal pasti, selidik dan pulihkan pesakit Long Covid, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan hari ini.

“Telah lebih 2 juta rakyat negara ini terjangkit. Angka ini mungkin lebih tinggi. Dan peratusan yang mempunyai Long Covid juga mungkin akan semakin ramai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

“Pemulihan kesihatan mereka ini adalah sangat penting kepada kualiti kesihatan awam secara meyeluruh,” tambahnya.

Oleh itu, beliau menyarankan kerajaan beri perhatian terhadap kes Long Covid ini secara terpadu.

Mohamad berkata kerajaan masih belum kemuka data terperinci masalah ini, namun beberapa universiti tempatan telah memulakan penyelidikan tentangnya.

Memetik jurnal perubatan Lancet, beliau berkata Long Covid adalah cabaran terbesar sektor perubatan.

“Banyak yang masih tidak diketahui tentangnya. Justeru pelbagai penyelidikan rentas disiplin sangat perlu untuk membolehkan rawatan terbaik diberikan,” katanya.

Mohamad berkata dasar sedia ada tidak boleh sekadar pencegahan dan rawatan tetapi perlu merangkumi rawatan jangka panjang serta pelbagai penyelidikan berkaitan.

Tambahnya, keutamaan harus diberikan kepada vaksinasi, kaedah rawatan dan pemulihan yang berkesan selain pelaburan untuk penyelidikan.

“Dunia perubatan akan terus terbeban dengan pelbagai cabaran baru kerana pandemik ini,” katanya.

Justeru, pelaburan kesihatan negara perlu ditingkatkan kepada 7 hingga 8 peratus keluaran dalam negara kasar, kata Mohamad.

Long Covid merujuk kepada keadaan di mana bekas pesakit terus mengalami pelbagai masalah kesihatan setelah pulih dari jangkitan Covid-19.

Gejala berterusan ini boleh terjadi pada sesiapa sahaja yang dijangkiti Covid-19 walaupun cuma mendapat gejala ringan atau tiada gejala langsung.

Pada Jun Kementerian Kesihatan berkata hampir 70% pesakit Covid-19 pada tahap empat dan lima menderita gejala Long Covid. – 17 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen