MANIFESTO pilihan raya Pakatan Harapan akan memiliki sesuatu yang akan mengurangkan beban peneroka Felda dan masyarakat India, kata pemimpin Bersatu Dr Rais Hussin hari ini.
Pakatan pembangkang berharap untuk mengumumkan manifesto sebelum sambutan Tahun Baru Cina pada 16 Februari depan.
“Manifesto sudah siap namun ia perlu diserahkan kepada Majlis Presiden PH yang akan mengadakan mesyuarat pada 30 Januari,” katanya yang juga pengarah strategik Bersatu di Kuala Lumpur hari ini.
“Manifesto berkenaan kemudiannya akan dibawa semula kepada parti untuk dibincangkan.”
Manifesto berkenaan akan mengandungi lima teras, 10 janji dalam masa 100 hari memegang kerajaan persekutuan dan 50 janji dalam tempoh lima tahun, kata Rais.
Ia turut mengandungi dua komitmen dengan tawaran khas kepada peneroka Felda dan masyarakat India, tambahnya.
Pasukan manifesto PH terdiri daripada Rais, Sim Tze Tzin (PKR), Dr Ong Kian Ming (DAP) dan Dr Dzulkifli Ahmad (Amanah).
Sementara itu, Rais turut mengumumkan pelantikan Abu Hafiz Salleh Hudin sebagai timbalan pengarah strategi Bersatu.
Abu akan memainkan peranan dalam isu agama Islam dan menyebarkan pendirian Bersatu kepada pengundi. – 23 Januari, 2018.
Komen