HAMPIR 17.8 juta orang atau 76.8% daripada populasi dewasa, di negara ini sudah mendapat vaksinasi lengkap terhadap Covid-19, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini di laman web Covidnow.
KKM berkata 202,298 dos vaksin diberikan semalam dengan 62,108 daripadanya suntikan pertama dan 140,190 suntikan dos kedua.
Ini menjadikan jumlah dos vaksin yang diberikan di bawah program imunisasi Covid-19 negara kepada 39,685,414.
Lembah Klang, yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, mendahului kadar vaksinasi dengan 105% populasi dewasa sudah divaksinasi lengkap.
Peratusannya melebihi 100% kerana statistik penduduk dari Jabatan Perangkaan tidak mengambil kira perubahan saiz populasi sejak bancian terakhir dan penduduk tiada dokumen.
Sabah mempunyai peratusan orang dewasa yang divaksinasi lengkap terendah iaitu 53.1%.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan menjangkakan 80% populasi dewasa akan diberi vaksin pada akhir Oktober, menjelang Covid-19 menjadi endemik.
CovidNow mengunjurkan 80% individu dewasa akan diberi vaksin pada 21 September, 80% daripada populasi umum menjelang 3 Disember, dan kadar 100% bagi individu dewasa dapat dicapai pada 6 November.
Secara keseluruhan, 66.7% populasi termasuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun, mendapat sekurang-kurangnya satu dos dan 55% diberi vaksin lengkap. – 17 September, 2021.
Komen