Kerajaan sedang giat usaha draf RUU 355, kata PM


Kerajaan sedang mempergiatkan usaha untuk mendraf RUU 355 supaya ia lebih komprehensif, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2021.

KERAJAAN sentiasa mengambil langkah untuk memperkasa dan menaikkan kedudukan mahkamah syariah agar setanding dengan mahkamah sivil, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Antaranya, dengan mempergiatkan usaha untuk mendraf Rang Undang- Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355 supaya ia lebih komprehensif.

Perdana menteri berkata kerajaan, melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil (Jawatankuasa Teknika) yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI), telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan RUU 355 dengan melihat dari pelbagai aspek khususnya aspek perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak.

“Setelah RUU 355 dimuktamadkan kelak, ia tersebut akan dibentangkan kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil,” katanya dalam dalam jawapan lisan bertarikh 14 September yang dimuat naik di portal rasmi Parlimen.

Ismail Sabri juga berkata pemerkasaan mahkamah syariah meliputi pelbagai aspek yang penting seperti meningkatkan tahap kompetensi hakim syarie; pendakwa syarie dan pegawai penguatkuasa agama; penambahbaikan aspek tadbir urus dan prasarana mahkamah syariah; penggubalan dan pindaan undang-undang Syariah sedia ada, serta penyeragaman dan penyelarasan undang-undang syariah.

“Antara langkah yang telah diambil untuk memperkasa dan menaik taraf mahkamah syariah supaya sesuai dengan perkembangan semasa ialah dengan menubuhkan suatu jawatankuasa bagi mengkaji dan menggubal Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2022 (RUU Mahkamah).

“Bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah pula, kerajaan juga sedang mempergiat usaha untuk mendraf Rang Undang- Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 (RUU 355),” jelasnya.

Ahli Parlimen Bera itu menjawab soalan Khalid Abdul Samad (Shah Alam-PH) berkenaan apakah perancangan strategik kerajaan bagi memperkasakan mahkamah syariah menerusi pindaan RUU 355 bagi 2021.

Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang, yang juga presiden PAS, mengusulkan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016. 

Usul itu mencadangkan hukuman lebih tinggi di mahkamah syarikat mengikut hukum syarak kecuali hukuman mati.

Pada November 2016, Hadi mengemukakan pindaan kepada usul pertama dibuat pada 26 Mei dengan mencadangkan hukuman denda RM100,000, penjara 30 tahun dan sebat 100 kali.

Pada 6 Mei 2017, Hadi mencadangkan semua usul sama tetapi tidak dibahaskan kerana Dewan Rakyat menangguhkan perbahasannya. Sehingga sekarang, RUU 355 belum lagi dibahas. – 16 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen