TANAH Felda di Jalan Semarak yang telah diluluskan untuk pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) “hilang selamanya”, dakwa naib presiden PKR Rafizi Ramli.
Katanya, kebanyakan orang tidak menyedari bahawa tanah yang mahu dibina KLVC sudah pun dijual kepada pemaju, Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).
Minggu lalu, SPSB menawarkan untuk mengembalikan tanah Felda di Jalan Semarak, selepas status hak milik tanah berkenaan yang bernilai RM270 juta, didedahkan bulan lalu, dipindahkan kepada syarikat persendirian menerusi transaksi yang diragui pada 2015.
Rafizi berkata, ia bertentangan dengan apa yang Felda dan SPSB mahu masyarakat percaya, hanya sedikit tanah dikembalikan kepada Felda.
“Tanah Felda di KLVC hilang selamanya. Rakyat tidak tahu apabila pembinaan KLVC bermula, tanah berkenaan sudah dijual kepada pemaju,” kata Rafizi menerusi sesi Live di Facebook hari ini.
Beliau mendakwa kelulusan itu diberikan untuk pembangunan KLVC, lot itu kini dimiliki oleh pemaju dan pemilik persendirian.
Pada sidang media minggu lalu, pengerusi Felda Shahrir Samad berkata SPSB mahu mengembalikan kepada Felda milikan tanah 16 plot tanpa sebarang kos secara sukarela, yang berkeluasan 66,000 meter persegi keseluruhannya.
Shahrir berkata, pemaju sudah mengembalikan dokumen berkaitan untuk tanah berkenaan didaftar semula atas nama Felda.
Berhubung kerja-kerja pembinaan KLVC yang diteruskan, Shahrir berkata Felda akan berunding dengan pemaju mengenai syarat dan terma projek berkenaan.
Peguam Azhar Harun pada minggu lalu berkata, proses perundangan sebenar pertukaran hak milik tanah kepada Felda pasti akan menjadi lebih sukar.– 23 Januari, 2018.
Komen