ORANG awam perlu berhati-hati dengan skim kewangan haram dengan tidak menggalakkan kewujudannya dengan menyertai skim itu, kata Bank Negara.
Gabenor Bank Negara Muhammad Ibrahim berkata yang terdapat pelabur yang aktif mencari skim pelaburan yang tidak diregulasikan yang menjanjikan pulangan tidak realistik.
“(Jika) rakyat berhenti terlibat dalam skim haram, mereka akhirnya akan tutup,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.
Katanya lagi mereka yang terlibat dalam skim kewangan haram dipandu ketamakkan dan keyakinan tidak bertempat.
“Ada juga pelabur yang dengan sedar mengambil risiko dengan pelaburan haram tanpa dokumentasi yang bersesuaian dan sah,” katanya lagi, menambah yang pelabur boleh dikenakan tindakan kerana bersubahat dan berurusan dengan aktiviti haram.
Amaran Bank Negara itu dikeluarkan berikutan kontroversi JJ Poor to Rich (JJPTR) dan operator permainan wang yang lain. Pihak berkuasa, termasuk polis dan Bank Negara menyerbu lapan premis JJPTR di Pulau Pinang, merampas dokumen, komputer dan barangan lain.
Pengasas JJPTR Johnson Lee direman tiga hari sejak 16 Mei lepas, untuk membantu siasatan atas dakwaan menipu melibatkan lebih 300,000 rakyat Malaysia.
JJPTR sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan selepas beberapa laporan polis dibuat ke atas syarikat itu sejak beberapa minggu lepas.
Muhammad juga mengatakan yang jabatan peguam negara akan memimpin jawatankuasa antara agensi untuk penguatkuasaan bersama menentang skim kewangan haram.
“Berdasarkan inisiatif penguatkuasaan bersama sekarang, agensi penguatkuasaan berkenaan akan menilai kerangka perundangan dan keperluan untuk mempunyai pendekatan yang lebih menyeluruh di peringkat kebangsaan untuk menentang skim-skim ini,” katanya.
Katanya institusi kewangan memberikan kerjasama sejak beberapa bulan lepas, dengan 238 akaun ditutup.
“Tidak ada manfaat langsung jika anda terlibat dalam aktiviti ini. Akhirnya, anda akan hilang semua duit anda,” katanya. – 19 Mei, 2017.
Komen