KERAJAAN negeri Sarawak perlu meneruskan langkah kesihatan awamnya untuk mengekang peningkatan kes Covid-19 di negeri berkenaan dari memberikan suntikan dos penggalak, kata pakar kesihatan.
Menurut mereka ia memerlukan kajian menyeluruh sebelum suntikan tambahan itu dibuat.
Pakar epidemiologi Universitri Putra Malaysia Prof Madya Dr Malina Osman berpendapat ini mungkin masa yang tidak sesuai untuk suntikan dos penggalak diberikan di Sarawak ketika ini.
“Perlu analisis lanjut sebelum pertimbangan untuk dos penggalak dibuat. Pada pendapat saya, keutamaan pada situasi sekarang adalah memastikan semua golongan berisiko tinggi mendapat sekurang-kurangnya satu dos sebelum kita dapat memikirkan dos penggalak,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar berkata lebih banyak maklumat diperlukan sama ada peningkatan kes jangkitan disebabkan oleh penurunan imuniti.
“Kita tidak tahu berapa peratus orang yang sudah melengkapkan vaksinasi mereka dan berapa lama selepas mereka dijangkiti. Jadi tidak dapat dipastikan sama ada suntikan dos penggalak diperlukan ketika ini,” katanya.
Sementara itu merujuk kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pakar virologi Dr Chee Hui Yee daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia berkata suntikan itu tidak diperlukan ketika ini kerana suntikan vaksin Covid-19 sebelum ini masih berpotensi untuk menghalang jangkitan yang teruk dan kematian.
“Vaksin tidak menghalang kita daripada dijangkiti virus, namun ia menghalang simptom yang teruk,” katanya.
Menurutnya penularan varian yang membimbangkan (VOC) sebagaimana yang dinyatakan oleh Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) merupakan antara kemungkinan bagi peningkatan kes di negeri itu.
Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Unimas Prof Dr David Perera dilaporkan berkata setakat 17 Ogos, 179 tambahan kes VOC dan varian yang perlu mendapat perhatian (VOI) dikesan. Dr Perera berkata institut itu telah menjalankan penjujukan genom untuk 220 sampel.
Daripada jumlah itu, 178 adalah varian Delta dan satu adalah yang dinatakan sebagai VOI Indonesia.
Sementara itu, Dr Chee berkata langkah-langkah kesihatan awam adalah cara yang perlu dilakukan sekarang.
“Langkah-langkah Kesihatan Awam dan sosial dapat membantu seperti memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan kerap dan penjarakan sosial dan mengelakkan berkumpul,” katanya.
Dr Malina turut bersetuju dengan pandangan Dr Chee.
Menurutnya, kurang pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) juga salah satu faktor kepada peningkatan kes.
“Dengan penularan varian Delta dalam komuniti, terutamanya di Sarawak, kita tiada pilihan selain terus mematuhi SOP walaupun sudah divaksin sepenuhnya,” katanya. – 17 September, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen