Kematian akibat Covid-19 lepasi angka 22,000, lapor KKM


Noel Achariam

Jumlah kematian negara akibat Covid-19 kini sebanyak 107 kematian sehari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 422 kematian Covid-19 pada tengah malam tadi, menjadikan jumlah korban di seluruh negara kepada 22,009.

Menurut data yang diberikan kementerian, hanya lima daripada mangsa yang meninggal dunia akibat penyakit itu semalam. 

Baki 415 kematian adalah kes tunggakan yang sebelum ini tidak dilaporkan.

Data mengenai kematian koronavirus kini boleh didapati setiap hari di laman web kerajaan di CovidNow.

Ia menunjukkan tiga petunjuk kematian Covid-19: jumlah kematian yang dilaporkan setiap hari termasuk kes tunggakan, kematian sebenar berlaku pada hari itu dan kematian pada purata tujuh hari.

Selangor menyumbang 116 daripada jumlah kematian, diikuti Kedah (79) dan Sabah (71).

Negeri lain yang melaporkan kematian adalah Pulau Pinang (37), Johor (46), Perak (21), Kelantan (16), Kuala Lumpur (11), Pahang (10), Terengganu (4), Perlis (4) dan Melaka (2) .

Tiada kematian dilaporkan di Negeri Sembilan, Labuan atau Putrajaya.

Sementara itu, data juga menunjukkan 92 daripada 463 kes dikategorikan sebagai kematian di luar hospital.

Berdasarkan purata tujuh hari yang diberikan oleh CovidNow, jumlah kematian negara adalah 107 kematian sehari.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata selepas menunjukkan kecenderungan penurunan kes Covid-19 harian selama empat hari berturut-turut, jangkitan bagi tempoh 24 jam lalu meningkat kepada 19,495 kes. – 16 September, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen