RAKYAT Malaysia masih boleh dapatkan vaksinasi secara jumpa terus mulai esok hingga 30 September ini, kata Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini.
Ia berkata ‘walk-in’ atau jumpa terus tersedia di lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Axiata Arena di Bukit Jalil, IDCC Ideal Convention Center di Shah Alam, Bangi Avenue Convention Center di Bangi, Multimedia University di Cyberjaya, dan Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute di Gombak.
Pada 8 September, bekas menteri kesihatan Dr Adham Baba berkata kerajaan akan hentikan pemberian vaksin Covid-19 secara jumpa terus bagi kawasan Lembah Klang selepas 15 September.
Menteri sains, teknologi dan inovasi itu berkata selepas tarikh tersebut, penduduk boleh dapatkan vaksinasi mereka di klinik kesihatan awam terpilih.
Dalam pada itu, CITF berkata pelajar institut pengajian tinggi di sekitar Lembah Klang juga boleh mendapatkan suntikan mereka di lima PPV terbabit.
“Langkah ini bagi mengehadkan vaksinasi secara jumpa terus kepada cuma lima PPV sesuai dengan strategi CITF untuk mengoptimumkan sumber untuk program imunisasi Covid-19 kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan.
CITF berkata vaksinasi jumpa terus di negeri lain akan diteruskan seperti biasa dan orang ramai dinasihatkan merujuk jabatan kesihatan negeri masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai inisiatif tersebut. – 15 September, 2021.
Komen