Dua penggal dah cukup untuk PM, kata Dr Mahathir


Bede Hong

“Saya (perdana menteri) paling lama, tapi sekarang ni kita tak ada orang yang boleh buat lebih baik dari saya,” katanya secara berseloroh kepada pemberita ketika mempengerusikan mesyuarat Pakatan Harapan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Januari, 2018.

TEMPOH dua penggal sudah cukup untuk perdana menteri melaksanakan dasar selain membendung kuasa eksekutif terhadap jabatan kerajaan yang lain, kata Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir yang pernah memegang jawatan perdana menteri paling lama sehingga 2013 berkata had tempoh itu sudah cukup untuk menangani rasuah

“Saya (perdana menteri) paling lama, tapi sekarang ni kita tak ada orang yang boleh buat lebih baik dari saya,” katanya secara berseloroh kepada pemberita ketika mempengerusikan mesyuarat Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Tambahnya, dua penggal sudah cukup lama untuk perdana menteri merumuskan pelan dasar dan memastikan dasar itu dilaksanakan.

“Kita boleh benarkan mereka mentadbir untuk dua penggal. Satu penggal terlalu singkat. Sesetengah negara hanya sepenggal. Tapi itu terlalu singkat untuk laksanakan apa-apa,” katanya yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

“(Bila) awak jadi perdana menteri, awak belajar.

“Tahun kedua, awak mula fikir tentang perubahan dasar, dasar luar negara, dan lain-lain. Tahun ketiga, awak akan cuba melaksanakan (dasar awak). Tahun keempat, awak dah mula risau pasal pilihan raya akan datang dah.

“Jadi, bila pilihan raya datang, orang lain ambil alih. Awak tak ada peluang untuk laksanakan pelan awak,” kata Dr Mahathir.

“Kita ada beberapa rancangan untuk ubah kerajaan. Bukan setakat tukar kerajaan tapi juga struktur (kerajaan) itu sendiri.”

Dr Mahathir yang mempengerusikan mesyuarat PH hari ini berkata, gabungan pembangkang telah bersetuju untuk mengehadkan tempoh tampuk kekuasaan perdana menteri hanya untuk dua penggal memandangkan beberapa tuduhan penyalahgunaan kuasa oleh Najib.

Mesyuarat itu turut dihadiri presiden Amanah Mohamad Sabu, ketua DAP Johor Liew Chin Tong dan setiausaha agung PH Saifuddin Abdullah.

“Kami dapati Najib sebagai perdana menteri telah menggunakan kuasanya secara melampau. Dia dah mempergunakan segala jentera kerajaan.

“Tidak ada pembahagian kuasa antara kehakiman, eksekutif dan perundangan. ketiga-tiga cabang ini dikawal Najib. Kami akan kembalikan pembahagian kuasa ini.

“Dalam masa sama, kami tak mahu perdana menteri pegang jawatan terlalu lama. Kalau awak pegang jawatan terlalu lama, ada kemungkinan awak akan korup. Saya tak pasti sama ada saya korup atau tidak, tapi kami dapati yang (lagi lama perdana menteri berkuasa), lagi tinggi peluang untuk korup,” kata Dr Mahathir.

Tambahnya lagi, amalan itu telah lama dilaksanakan dipelbagai peringkat dalam sektor kerajaan.

“Sebagai contoh, kita hadkan syarat untuk pegawai Kastam di sempadan. Kami dapati, lagi lama mereka berkhidmat (di situ), (ada kemungkinan) mereka berkawan dengan watak-watak jahat yang nak seludup barang. Jadi, kami pindahkan mereka ke tempat lain. Begitu juga dengan perdana menteri.”

Memetik contoh penyalahgunaan kuasa, di mana Najib melantik pegawai senior tanpa berunding, Dr Mahathir berkata: “Kadang-kadang, hanya Agong yang perlu tandatangan, kemudian ada kejadian yang mana (bekas peguam negara) Abdul Gani Patail letak jawatan dan diganti dengan Mohamed Apandi Ali.”

Dr Mahathir berkata, ia adalah sebahagian daripada peraturan kerajaan bagi lembaga perubatan untuk mengesahkan sama ada Gani layak bekerja atau bersara.

“Di Amerika Syarikat, setiausaha negara perlu berhadapan dengan Kongres, selain politikus dari kedua belah pihak, kerajaan dan pembangkang.”

Tambahnya, PH patut menang, “kami akan benarkan pembangkang tentukan sama ada calon (untuk peguam negara) bagus atau tidak. Kami akan letak dalam manifesto kami.

“Akan ada banyak perubahan. Mengurangkan kuasa perdana menteri dan juga memastikan calon untuk jawatan tertinggi disemak sungguh-sungguh,” tambah Dr Mahathir.

Jika PH berjaya mengambil alih kerajaan persekutuan, beliau berkata, akan ada jawatankuasa bipartisan di Parlimen yang akan menyoal calon-calon. – 23 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen