MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz berkata ahli politik Malaysia perlu bersikap muka tebal dan tidak mudah tersinggung dengan kritikan sekiranya mahu kekal dalam politik.
Katanya, tokoh masyarakat perlu sedar bahawa mereka akan menjadi sasaran kritikan dan tidak seharusnya terlalu sensitif.
Nazri berkata beliau juga tidak kisah dengan kartun yang mengkritik dirinya atau Perdana Menteri Najib Razak.
“Saya tidak kisah, perdana menteri atau saya sendiri (jadi sasaran kritikan). Kita kita kena muka tebal lah, jangan telinga nipis,” katanya.
“Pada saya, saya fikir mereka patut teruskan. Sebab, jika anda terlalu sensitif, anda tidak seharusnya menyertai politik. Jika memilih untuk tidak dikritik, duduk saja di rumah dan jangan terlibat.
“Jadi inilah cara untuk maju ke hadapan dan kita tidak akan menoleh lagi,” katanya ketika melancarkan pameran “Kartunis dan Kita” di Muzium Negara pagi ini.
Zunar dan Fahmi disiasat polis ekoran karya mereka yang mengkritik Najib dan keluarga perdana menteri itu.
Zunar turut disekat daripada meninggalkan negara susulan siasatan polis ke atas lukisan satiranya ke atas pemimpin politik Malaysia.
Fahmi pula didakwa pada 2016 mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menggambarkan Najib sebagai seorang badut dalam lukisannya. – 23 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan