FILIPINA akan melonggarkan sekatan koronavirus di ibu negara Manila bagi memacu aktiviti ekonomi walaupun jumlah jangkitan meningkat dan WHO memberikan amaran menentang langkah tersebut, kata pegawai semalam.
Restoran, gereja dan salon kecantikan di ibu negara akan dibuka dengan kapasiti lebih rendah mulai esok bagi mendapatkan puluhan ribu orang untuk kembali bekerja.
Kes Covid-19 melonjak tinggi dengan lebih 140,000 kes dicatatkan pada minggu lalu susulan varian Delta yang mudah dijangkiti.
Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Filipina semalam memberi amaran agar tidak melonggarkan sekatan.
“Walaupun enam daripada 10 individu dewasa di ibu negara sudah sepenuhnya divaksin, ini tidak bermakna mereka melonggarkan sekatan kuarantin,” kata pejabat WHO di Filipina, Rabindra Abeyasinghe kepada stesen televisyen kerajaan.
Penduduk yang sudah divaksin sepenuhnya kini boleh makan di restoran dan memasuki salon kecantikan dengan kapasiti hingga 10%, dan di tempat luar dengan kapasiti sehingga 30% tanpa mengira status vaksinasi.
Gereja juga dibenarkan untuk beroperasi dengan 10% kapasiti untuk aktiviti dalaman berkumpulan namun melibatkan orang ramai kekal dilarang.
Berjuta-juta kanak-kanak memulakan pembelajaran atas talian untuk tahun kedua minggu ini di Filipina, menjadikan sekolah kekal ditutup sejak bermulanya wabak ini.
Duterte sebelum ini berkata bahawa negara itu tidak mampu melakukan lebih banyak sekatan.
Tetapi pihak berkuasa tidak ada pilihan lain untuk mengekang penyebaran virus apabila hospital penuh dan kadar vaksinasi di seluruh negara tetap rendah pada 22%.
Presiden berkata vaksinasi yang kini hanya untuk tertumpu sektor keutamaan boleh dimulakan untuk orang awam bulan depan jika ada bekalan vaksin yang stabil.
Koronavirus sudah menjangkiti lebih 2.2 juta penduduk di negara itu dan lebih 35,000 kematian dicatatkan. – AFP, 15 September, 2021.
Komen