KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 18,053 kes sembuh berbanding 15,669 jangkitan baharu dilaporkan hari ini.
Ini menjadikan hari ke-14 berturut-turut kes yang sudah pulih mengatasi jumlah jangkitan baharu.
Dr Noor Hisham berkata, daripada 15,669 jangkitan baharu dilaporkan hari ini, 15,386 atau 98.2% berada dalam Kategori 1 tidak bergejala dan Kategori 2 dengan gejala ringan.
Selebihnya 283 atau 1.8% berada dalam Kategori Tiga, Empat dan Lima. Pesakit dalam kategori ini adalah mereka yang mengalami radang paru-paru, memerlukan oksigen atau menggunakan ventilator.
Berbanding semalam, penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan jumlah pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga menunjukkan penurunan.
Sebanyak 1,266 pesakit di ICU hari ini, di mana 954 daripadanya disahkan kes Covid-19 dan selebihnya 312 dikategorikan sebagai kes yang disyaki dan sedang disiasat.
Bagi mereka yang menggunakan alat bantuan pernafasan, Dr Noor Hisham berkata 689 pesakit menggunakan ventilator, di mana 432 disahkan kes Covid-19 dan selebihnya 257 kes disyaki dan sedang disiasat.
Semalam, 1,312 pesakit berada di ICU dengan 698 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Kementerian Kesihatan juga mengesan 29 kluster baharu Covid-19, menjadikan jumlah kluster di negara ini kini sebanyak 5,182.
Ini menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 1,448 sementara 3,734 lagi sudah tamat.
Mengenai pecahan kluster baharu, Dr Noor Hisham berkata 14 kluster berkait tempat kerja, 12 jangkitan komuniti dan tiga dikesan kepada kluster berisiko tinggi.
Kelantan melaporkan 10 kluster hari ini, di mana sembilan melibatkan jangkitan komuniti dan satu kluster tempat kerja.
Negeri lain yang melaporkan kluster ialah Johor (lima), Perak (empat), Pahang dan Sarawak (masing-masing tiga), Selangor (dua), Pulau Pinang dan Kuala Lumpur (masing-masing satu).
Tiada angka jumlah kematian dimasukkan dalam kenyataan Dr Noor Hisham hari ini.
Jumlah kematian dan kes aktif tidak dimasukkan kerana pendekatan baharu yang diambil Kementerian Kesihatan bagi menjadikan data Covid-19 lebih telus kepada orang awam.
Data ini sebaliknya akan dikemas kini di laman web CovidNow kementerian selepas tengah malam setiap hari.
Setakat tengah malam tadi, Kementerian kesihatan melaporkan 413 kematian baharu Covid-19, menjadikan jumlah beban kematian ditanggung negara kini sebanyak 21,124.
Menurut data kementerian, hanya empat mangsa meninggal dunia akibat Covid-19 semalam. Selebihnya 409 kematian adalah kes tertunggak yang sebelum ini tidak dilaporkan. – 14 September, 2021.
Komen