KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan 413 kematian baharu Covid-19 setakat jam 11.59 malam semalam, menjadikan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 21,124.
Menurut data yang diberikan oleh kementerian, hanya empat dari 413 yang direkodkan meninggal dunia semalam.
Selebihnya 409 kematian adalah kes tunggakan yang sebelum ini tidak dilaporkan tetapi kini ditambahkan dalam jumlah statistik.
Kerajaan mempunyai kaedah baharu untuk melaporkan kematian Covid-19 yang disenaraikan di laman web CovidNow yang baru dilancarkan.
Laman web itu menunjukkan dua petunjuk untuk kematian Covid-19 – kes tunggakan yang dilaporkan pada hari berkenaan dan kematian yang berlaku pada hari tersebut berdasarkan purata tujuh hari.
Kematian sebenar setiap hari akan dimuat naik di laman GitHub Kementerian.
Daripada 413 kematian yang dilaporkan, Selangor menyumbang 111 daripadanya, diikuti oleh Kedah 54 dan Johor 52.
Negeri lain yang melaporkan kematian adalah Sabah (39), Kelantan (36), Pulau Pinang (33), Negeri Sembilan (29), Pahang (15), Melaka and Perak (13 each), Kuala Lumpur (8), Sarawak dan Terengganu (masing-masing 5).
Tidak ada kematian dilaporkan di Perlis, Labuan dan Putrajaya.
Sementara itu, data juga menunjukkan bahawa 176 dari 413 kematian dilaporkan sebagai meninggal dunia di luar hospital.
Berdasarkan kiraan purata kematian tujuh hari yang diberikan oleh CovidNow, jumlah purata adalah 104 kematian setiap hari.
Dengan menggunakan purata tujuh hari mengikut negeri, ini menunjukkan kematian menurun dengan ketara di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Sarawak, Selangor dan Kuala Lumpur.
Semalam, Malaysia melaporkan 16,073 kes baharu dan 24,813 kes pulih, menjadikan kes aktif di negara ini menurun kepada 228,124, penurunan sebanyak 9,153.
Jangkitan baharu yang dilaporkan semalam adalah yang terendah dalam lebih sebulan, di mana kali terakhir negara melaporkan kes terendah adalah pada 2 Ogos dengan 15,764 kes. – 14 September, 2021.
Komen