Mahfuz tidak bimbang walau 127 laporan polis dibuat terhadapnya


Zulkifli Sulong

Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berkata beliau yakin tidak membuat sebarang kesalahan ketika mengaitkan usia Sultan Pahang, dalam satu ucapannya, baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2018.

AHLI parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar yakin beliau tidak membuat apa-apa kesalahan dalam ucapannya yang mengaitkan usia Sultan Pahang walau disiasat polis selepas 127 laporan dibuat ke atasnya berhubung dakwaan menghina baginda.

Malah, Mahfuz berkata apa diucapkan itu satu pengiktirafan dan pembelaan kepada golongan berusia agar tidak dipandang hina sebagaimana dibuat sesetengah pihak.

“Saya tidak marah dengan pihak yang membuat laporan polis kepada saya. Apa yang saya buat adalah membela golongan berusia yang dihina oleh Najib dan konco-konconya,” kata Mahfuz kepada The Malaysian Insight.

Mahfuz berkata beliau merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Najib Razak yang membangkitkan usia veteran tersebut dan memperlekehkan kemampuan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Dalam ucapan di persidangan perwakilan Umno Bahagian Pekan pada September lalu, Najib berkata: “Patutkah saya takut pada orang yang sudah berusia 92 tahun? Kita tidak payah cakap banyak tentang orang yang sudah banyak terbabas.”

Mahfuz berkata ucapannya di Taiping pada awal bulan ini pembelaan kepada golongan yang sudah berusia termasuk Sultan Pahang.

Beliau dalam ucapan itu antara lain menyebut mengenai keadaan Sultan Pahang yang masih menjadi sultan walau dalam keadaan gering.

Katanya, usia bukanlah isu untuk menjadi pemimpin yang baik, sebaliknya seseorang itu memerlukan kepemimpinan, ilmu dan akal yang sihat.

Mahfuz berkata beliau mendapatkan nasihat dari peguamnya yang berpandangan beliau tidak melanggar sebarang undang-undang termasuk Akta Hasutan dalam ucapannya.

“Mereka mendengar sendiri ucapan itu dan saya dinasihatkan oleh peguam bahawa saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak ada sebarang unsur hasutan menghina raja di situ.

“Cuma apabila pemangku Sultan Pahang terasa hati, saya memohon maaf kepada baginda,” kata Mahfuz yang membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Mahfuz berkata beliau sudah menjelaskan butiran ucapannya kepada polis dan turut menyatakan tujuan beliau membuat ucapan itu.

“Saya membela dan mengesahkan golongan berusia boleh memimpin dan terus memimpin sebagai raja atau perdana menteri dan umur bukan penghalang untuk menjadi pemimpin yang baik,” katanya.

Polis berkata siasatan dijalankan ke atas Mahfuz mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ia dibuat susulan laporan yang dimulakan oleh Ketua Pemuda Umno Pahang atas dakwaan ahli Parlimen itu menghina Sultan Pahang.

“Laporan polis dibuat kerana pengadu tidak berpuas hati terhadap Mahfuz yang mempersendakan Tuanku Sultan Pahang dalam satu rakaman video,” menurut satu kenyataan rasmi polis.

Mahfuz disiasat lebih dua jam oleh pegawai polis di IPK Alor Setar pada 18 Januari lalu dengan ditemani peguamnya, Mohamad Fikri. – 23 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • memang betul usia pemangku sultan pahang dah lanjut tapi mana blh bandingkan sultan dengan PM, sultan tu dah memang normal memang kebiasaanya akan diganti setelah mangkat...PM ni lain se eloknya bagi la peluang kepada yang lain untuk pimpin kerajaan, kalau btl Tun nak bangunkan kerajaan why not Tun jadi penasihat dan pemberi cadangan. apa yang mahfuz nyatakan seolah2 mempersendakan sultan.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan