Pesakit di ICU Covid-19 cecah 1,312, kata KP Kesihatan


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 1,312 pesakit dirawat di ICU, seramai 967 disahkan kes Covid-19 sementara 345 lagi dikategorikan sebagai disyaki dan dalam siasatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2021.

JUMLAH pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal tinggi walaupun negara melaporkan lebih banyak kes sembuh berbanding jangkitan baharu dalam 24 jam ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata daripada 1,312 pesakit dirawat di ICU, seramai 967 disahkan kes Covid-19 sementara 345 lagi dikategorikan sebagai disyaki dan dalam siasatan.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, 698 pesakit menggunakan alat bantuan pernafasan. 444 daripadanya disahkan kes Covid-19 dan 254 disyaki dan dalam siasatan.

Semalam, 1,298 pesakit di ICU sementara 744 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dari sudut positif, beliau berkata terdapat 24,813 kes sudah sembuh berbanding 16,073 jangkitan baharu dilaporkan hari ini.

Ini menjadikan hari ke-13 berturut-turut jumlah sembuh melebihi jumlah jangkitan baharu, di mana pada 9 September negara melaporkan kes pulih harian tertinggi dengan 24,855.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 16,073 kes baharu hari ini, 98.5% berada dalam Kategori 1 (tiada gejala) dan Kategori 2 (gejala ringan).

Baki 1.5% berada dalam Kategori 3, 4 dan 5. Pesakit dalam kategori ini adalah mereka yang mengalami radang paru-paru, memerlukan oksigen atau menggunakan ventilator.

Bagi kluster Covid-19, Kementerian Kesihatan mengesan 32 kluster baharu hari ini.

Sebanyak 16 kluster berkait tempat kerja, 14 kluster jangkitan komuniti dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan institusi pendidikan.

32 kluster baharu, sembilan dikesan di Johor, di mana lapan berkait tempat kerja dan satu melibatkan kumpulan berisiko tinggi.

Mengikuti Johor, Sarawak melaporkan paling banyak dengan enam kluster, di mana semuanya adalah jangkitan komuniti.

Kluster lain yang dikesan ialah di Kelantan dan Perak (masing-masing 4), Pahang dan Kedah (masing-masing 2), Pulau Pinang, Sabah, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan (masing-masing 1).

Sementara itu, tiada jumlah kematian dimasukkan dalam kenyataan oleh Dr Noor Hisham hari ini.

Tiadanya angka kematian dan kes aktif hari ini kerana pendekatan baharu Kementerian Kesihatan dalam usaha menjadikan data Covid-19 lebih mudah dicapai semua lapisan masyarakat.

Data ini sebaliknya akan dikemas kini di laman web CovidNow kementerian selepas tengah malam setiap hari.

Semalam, Malaysia mengumumkan 292 kematian akibat koronavirus pada pukul 11.59 malam, 99 daripadanya adalah kematian yang dilaporkan berlaku dalam tempoh 24 jam sebelum, kata Kementerian Kesihatan.

Kementerian Kesihatan berkata baki 193 kematian itu adalah kes tertunggak yang sebelum ini tidak dilaporkan.

Jumlah korban akibat Covid-19 yang ditanggung negara kini sebanyak 20,711 orang. – 13 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen