KERJA membersihkan reban ayam berjam-jam sehari bukanlah apa yang Alex Wong impikan ketika dia mengambil pengajian sains haiwan di universiti, tetapi itulah kerja dilakukannya selama dua tahun selepas tamat belajar.
Bagaimanapun, Wong tidak kesal dengan keputusannya untuk menerima tawaran kerja yang tidak konvensional dan tidak glamor itu.
“Masa itu saya tidak ada meletakkan harapan tinggi untuk dapat kerja selesa, apa yang penting dapat pengalaman,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Sekarang rasanya cukup pengalaman ini seumur hidup saya.”
Wong berkata dia sukar mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian, tetapi selepas dua tahun bekerja di ladang, mencuci reban dan memberi ayam makan serta menguruskan penghantaran telur dan ayam, Wong kini diterima kerja lebih selesa, dengan mudah.
Pemuda berusia 26 tahun itu kini bertugas sebagai eksekutif pengurus projek.
“Walaupun kerjanya teruk, tetapi syarikat melayan saya dengan baik. Gaji saya tidak besar. Selain terpaksa mengendalikan najis, saya perlu periksa kualiti makanan ayam.
“Saya perlu pastikan kuantiti makanan ayam juga, memastikan semuanya cukup. Saya juga perlu uruskan logistik, dapatkan pesanan untuk pelanggan dan penghantaran telur,” katanya.

Wong berkata selain belajar bagaimana menguruskan masanya dan logistik, dia juga hidup dengan lebih sihat, seperti orang yang sering bersenam.
Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata ramai graduan Malaysia terpaksa bekerja sebagai penjual nasi lemak dan pemandu Uber kerana kegagalan kerajaan menyediakan pendidikan untuk mempersiapkan mereka berdepan pasaran kerja.
Dr Mahathir berkata kadar pengangguran belia (11%) lebih tinggi tiga kali ganda berbanding purata negara 3%.
Bagi kebanyakan graduan, bekerja dalam bidang yang luar kebiasaannya terpaksa dilakukan kerana kesukaran mendapatkan kerja selesa.
Nurul Syahida Azizan, yang mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidangan kewangan berkata dia gembira bekerja di syarikat telekomunikasi menjual pelan data di gerai promosi kerana tidak mahu “duduk depan komputer sepanjang hari”.
“Saya hendak jumpa orang, belajar pengalaman mereka dalam bidang kewangan, bermula dari bawah dulu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Syahida, 23, berkata graduan lain juga tidak boleh terlalu memilih pekerjaan pertama mereka.
“Bukan senang hendak dapat kerja, nasihat saya ialah ambil saja dulu apa yang datang, gunakan apa yang anda belajar dan perbaiki dari masa ke masa.
“Anda tidak boleh memilih jika tiada pengalaman,” katanya.
Syahida tamat pengajian pada September dan mula bekerja Disember lalu, dan dia berharap dapat pekerjaan lebih baik, mungkin dinaikkan pangkat dengan pengalaman yang diperoleh.
“Siapa tahu saya mungkin dapat kerja dalam syarikat itu sebagai ejen fiskal. Kita kenalah bersabar,” katanya. – 23 Januari, 2018.

Komen