LELAKI yang mendakwa kononnya dipaksa masuk ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang sebenarnya pesakit kritikal Covid-19, kata pihak berkuasa kesihatan negeri.
Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Dr Ma’arof Sudin berkata pesakit berkenaan dimasukkan ke ICU kerana dikesan dijangkiti Covid-19 tahap empat.
“Pemeriksaan awal menunjukkan pesakit mengalami penurunan tahap oksigen yang sangat membimbangkan. Sehubungan dengan itu, rawatan terapi oksigen telah dimulakan.
“Namun, pemeriksaan lanjut mendapati keadaan pesakit semakin kritikal sehingga kadar oksigen dalam darah hanya dapat distabilkan dengan menggunakan mesin bantuan pernafasan iaitu ventilator,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan susulan rakaman video perbualan pesakit berkenaan dengan seorang aktivis badan masyarakat, yang diketahui menolak vaksin Covid-19, yang tular di media sosial, semalam.
Pegawai perubatan pakar rawatan rapi dan ICU juga sudah menjelaskan berulang kali kepada pesakit dan ahli keluarganya mengenai risiko keadaan kritikal itu kepada nyawa sekiranya tidak membenarkan pihak hospital memberi rawatan kepadanya.
“Walau bagaimanapun pesakit masih tidak bersetuju dengan rawatan yang telah disyorkan dan memohon agar dibenarkan pulang atas risiko sendiri,” kata Dr Ma’arof.
Tambahnya, pesakit berkenaan berisiko menyebarkan virus penyakit kepada orang lain sekiranya dibenarkan pulang ke rumah, dan kerana itu beliau ditempatkan di ICU walaupun menolak terapi oksigen dan peralatan bantuan pernafasan.
Dalam pada itu, Dr Ma’arof menafikan pihak Hospital Pulau Pinang tidak memberi pesakit makan empat hari semasa di ICU.
Pesakit di ICU sebaliknya diberi makanan dalam bentuk cecair seperti susu untuk memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan komplikasi. – 13 September, 2021.
Komen