New Zealand lanjut sekatan Covid-19 di Auckland


Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata penduduk Auckland perlu terus patuh dengan perintah duduk di rumah kerana munculnya beberapa kes misteri yang masih belum dikaitkan dengan kluster Covid-19 sedia ada. – Gambar EPA, 13 September, 2021.

BANDAR RAYA Auckland di New Zealand akan terus kekal dalam sekatan pergerakan sekurang-kurangnya sehingga penularan varian Delta Covid-19 reda, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern pada Isnin.

Ardern berkata dua juta penduduk di bandar itu perlu mematuhi perintah duduk di rumah kerana munculnya beberapa kes misteri yang belum dikaitkan dengan kluster sedia ada.

“Kes-kes misteri ini masih ada dan fakta kami menjumpainya melalui pengawasan dan ujian saringan komuniti, dan bukannya pengesanan kontak, itulah yang membimbangkan kami,” katanya.

New Zealand mengenakan perintah sekatan pergerakan kebangsaan pada 17 Ogos lalu selepas mengesan kes pertama varian Delta.

Namun arahan duduk di rumah ditarik kembali di luar Auckland minggu lalu kerana menjadi semua kes baharu muncul di bandar itu.

Dengan 33 kes komuniti baharu dicatat di bandar itu pada Isnin, Ardern berkata beliau berhati-hati untuk menarik sekatan terlebih awal.

“Angka (kes) mencanak dan ini terbukti dalam tiga hari terakhir,” katanya.

“Ini tidak bermaksud usaha kolektif kita di Auckland tidak membuahkan hasil.”

New Zealand mengenakan strategi penghapusan “Covid zero” - yang mengakibatkan hanya 27 kematian dalam populasi lima juta di negara itu.

Ia telah bebas dari kes jangkitan komuniti sejak enam bulan sehingga pada Ogos, dengan rakyat menikmati hidup yang hampir normal di samping sekatan ketat di sempadan antarabangsa.

Jangkitan Delta menyebabkan sekatan pergerakan segera dibuat kerana kadar vaksinasi rendah, dengan data minggu ini menunjukkan hanya sekitar satu pertiga dari populasi yang layak mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. – AFP, 13 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen