Hospital swasta Pulau Pinang tambah katil rawat pesakit Covid-19


Hospital swasta di Pulau Pinang menyediakan lebih banyak katil untuk merawat pesakit Covid-19 berikutan negeri itu mengalami lonjakan kes jangkitan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2021.

HOSPITAL swasta di Pulau Pinang menyediakan lebih banyak katil untuk merawat pesakit Covid-19 berikutan negeri itu mengalami lonjakan kes jangkitan sejak akhir-akhir ini.

Penambahan katil untuk pesakit bukan Covid-19 dari hospital kerajaan juga dibuat, susulan rundingan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dengan kerajaan negeri dan jabatan kesihatan negeri pada Sabtu lalu, kata Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) hari ini.

Presiden APHM Dr Kuljit Singh berkata kerjasama awam-swasta itu akan membantu penduduk di Pulau Pinang mendapatkan rawatan dengan segera terutama apabila jangkitan Covid-19 meningkat sejak beberapa minggu ini di negeri itu.

“Pesakit yang sedia mengeluarkan biaya sendiri untuk rawatan Covid-19 di hospital swasta di Pulau Pinang kini boleh berbuat demikian. Terdapat 165 katil biasa dan 22 di unit rawatan rapi di lapan hospital swasta di negeri itu.

“Hospital swasta di Pulau Pinag juga akan menerima 155 pesakit bukan Covid-19 dari hospital kerajaan secara berperingkat bagi membolehkan lebih ramai pesakit Covid-19 menerima rawatan di hospital kerajaan,” katanya.

Dr Kuljit berkata jumlah katil bagi tujuan itu mungkin ditambah pada masa akan datang berdasarkan kepada kapasiti dan kemampuan setiap hospital swasta.

Berdasarkan kepada usaha hospital swasta dalam pasukan Lembah Klang Besar sejak Ogos lalu, hospital swasta berjaya merawat 2,917 pesakit dan usaha itu masih berjalan tanpa sebarang isu besar, katanya.

Hospital swasta juga berminat untuk membantu kerajaan dalam mengimunisasi remaja dan dos penggalak awal kepada petugas barisan hadapan.

Menurut data 14 hari terakhir ini, kadar kematian bagi populasi 100,000 di Pulau Pinang ialah 16.5.

Pada masa ini 802 pesakit dirawat di hospital kerana Covid-19 di Pulau Pinang dengan kadar kapasiti 87.3% (pesakit Covid-19 dan bukan).

Terdapat 75 kes aktif di ICU dengan 45 memerlukan bantuan pernafasan.

Pulau Pinang adalah negeri kedua tertinggi di mana pesakit Covid-19 memerlukan bantuan pernafasan. – 13 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen