Afrika Selatan rancang perkenal ‘pasport vaksin’, kurangkan sekatan


Lebih tujuh juta penduduk di Afrika Selatan sudah divaksin sepenuhnya sehingga kini dengan lebih satu perempat dari populasi dewasa disuntik dengan sekurang-kurangnya satu dos. – Gambar EPA, 13 September, 2021.

PRESIDEN Afrika Selatan Cyril Ramaphosa semalam mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan “pasport vaksin” Covid-19 di tengah-tengah keraguan meluas berkenaan pengambil vaksin, menjelang kelonggaran sekatan pergerakan minggu ini.

Selepas pemerolehan vaksin yang lambat dan ditunda, Afrika yang merupakan negara paling teruk terjejas akibat Covid-19 kini berdepan masalah pengambilan vaksin yang rendah terutama dalam kalangan lelaki.

Ramaphosa berkata, populasi dewasa yang diimunisasi adalah jalan untuk membuka kembali ekonomi sepenuhnya dan mengelakkan gelombang jangkitan keempat.

“Dalam tempoh dua minggu, kami akan memberikan maklumat lebih lanjut mengenai pendekatan ‘pasport vaksin’ yang dapat digunakan sebagai bukti vaksinasi bagi pelbagai tujuan dan program,” katanya tanpa memberikan keterangan lebih lanjut.

Afrika Selatan sudah melepasi kemuncak gelombang jangkitan ketiga yang disebabkan oleh varian Delta, kata Ramaphosa.

Jumlah purata jangkitan baharu setiap hari 29 peratus lebih rendah dalam tujuh hari terakhir berbanding minggu sebelum ini dan 48% lebih rendah dari minggu sebelumnya.

“Tugas kami yang paling mendesak adalah memvaksin populasi di sini,” katanya sambil menyatakan bahawa penyediaan vaksin tidak lagi menjadi kekangan.

“Jika ramai orang tidak diberi vaksin, kemungkinan varian baharu dan lebih berbahaya muncul jauh lebih besar,” katanya memberi amaran.

Lebih tujuh juta penduduk di Afrika Selatan sudah divaksin sepenuhnya sehingga kini dengan lebih satu perempat dari populasi dewasa disuntik dengan sekurang-kurangnya satu dos.

Negara ini menyasarkan menyuntik 40 juta penduduk Afrika Selatan – kira-kira dua pertiga penduduk menjelang Mac tahun depan.

Pihak berkuasa mencatatkan lebih 2.8 juta kes koronavirus sejak wabak itu menyerang di mana sekurang-kurangnya 84,877 daripadanya meninggal dunia.  – AFP, 13 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen