TERDAPAT 292 kematian Covid-19 dilaporkan di negara ini setakat jam 11.59 malam semalam, dengan hanya 99 daripadanya berlaku pada hari berkenaan, kata Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut KKM, baki 193 kematian adalah kes tertunggak yang tidak dilaporkan sebelum ini.
Angka kematian di negara ini kini berjumlah 20,711 orang.
KKM mempunyai kaedah baharu untuk melaporkan jumlah kematian di negara ini yang terdapat di laman web COVIDNOW yang baru dilancarkan.
Laman web akan menunjukkan dua petunjuk untuk kematian Covid-19 - kes tunggakan yang dilaporkan pada hari tersebut dan kematian yang sebenarnya berlaku pada hari berkenaan.
Laman web tersebut menyenaraikan 99 kematian semalam berlaku di Johor dan Pulau Pinang (masing-masing 17), Sabah (15), Kedah dan Perak (masing-masing 9), Selangor (7), Sarawak (5), Pahang (4), Kelantan , Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kuala Lumpur (masing-masing 3), dan Perlis (1).
Bersama kes tunggakan, 292 kematian berlaku di Sabah (84), Selangor (45), Kedah (36), Negri Sembilan (29), Kuala Lumpur (18), Johor dan Pulau Pinang (masing-masing 16), Kelantan ( 13), Perak (11), Sarawak (9), Pahang (7), Terengganu (4), Melaka dan Perlis (masing-masing 2).
Putrajaya dan Labuan tidak melaporkan sebarang kematian.
Dari 292 kematian yang dilaporkan, 106 dinyatakan meninggal dunia di luar hospital, menjadikan jumlah keseluruhan dalam kategori ini sebanyak 3,782.
Data menunjukkan kematian setiap hari menurun dengan ketara di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Sarawak, Selangor, dan Kuala Lumpur.
Sementara itu, sehingga semalam, 19,198 kes baharu dan 20,980 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah aktif di negara ini sebanyak 237,277. – 13 September, 2021.

Komen