PENGUATKUASAAN untuk mewajibkan semua pekerja dan pelanggan bagi semua sektor perdagangan dan pengedaran, restoran serta pasar raya mengambil dua dos vaksin Covid-19 dilanjutkan hingga 21 September ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun, berkata anjakan tarikh itu selaras dengan sasaran Sabah yang akan mencapai 60% tahap vaksinasi Covid-19 pada tarikh itu.
“Orang ramai diingatkan sekali lagi semua pekerja dan pelanggan bagi semua sektor perdagangan dan pengedaran, restoran serta pasar raya hendaklah lengkap divaksinasi apabila ia dikuatkuasakan pada 21 September ini.
“Ini pada mulanya (penguatkuasaan) diumumkan untuk mula dikuatkuasakan selepas 15 September 2021. Bagaimanapun, oleh kerana tahap vaksinasi seluruh negeri Sabah sehingga ke hari ini baru mencapai 52% populasi dewasa, maka tarikh kuat kuasa ini dianjakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Masidi yang juga jurucakap khas Covid-19 Sabah berkata, terdapat kelewatan untuk pekerja di sektor perdagangan dan pengedaran, restoran serta pasar raya dalam menerima dos kedua, khususnya jenis vaksin AstraZeneca.
“Oleh itu majikan boleh memohon pengecualian sementara. Permohonan hendaklah dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan dengan menyenaraikan nama kakitangan mereka yang terbabit, tarikh pengambilan dos pertama dan jadual tarikh pengambilan dos kedua,” katanya.
Mengulas mengenai perkembangan kes Covid-19 di Sabah, Masidi berkata, jumlah kes wabak itu hari ini turun di bawah angka 2,000, iaitu 1,717 kes, penurunan sebanyak 446 kes berbanding 2,163 kes semalam. – Bernama, 12 September, 2021.
Komen