PUSAT Darah Negara (PDN) meminta orang ramai menangguhkan aktiviti menderma darah hingga tujuh hari selepas pengambilan vaksin Covid-19 jika tiada kesan sampingan.
Menurut PDN dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook hari ini, individu yang menghadapi kesan sampingan ringan selepas menerima vaksin, dibolehkan menderma darah selepas tujuh hari sembuh daripada sebarang gejala.
PDN memaklumkan penangguhan aktiviti derma darah itu membabitkan individu yang menerima suntikan vaksin antaranya Pfizer-BioNtech, Sinovac dan AstraZeneca.
“PDN sangat mengalakkan penderma darah untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi melindungi diri dan orang lain. Penderma darah masih boleh menderma darah dalam tempoh antara dos pertama dan kedua vaksin Covid-19,” menurut kenyataan itu.
PDN memaklumkan maklumat lanjut berkaitan tempoh penangguhan menderma darah bagi pengambilan jenis vaksin Covid-19 lain akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Bernama, 12 September, 2021.
Komen